Rencah Hidup

Sengaja buang kulit durian lebih 6 tan di tepi jalan: Lima lelaki dikesan

LIMA lelaki dikesan membuang lebih enam tan kulit durian di jalan lama Bentong-Raub, kira-kira 200 kilometer dari Kuantan, bulan lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Pahang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap lima lelaki berumur antara 25 dan 40 tahun itu yang dipercayai memandu tiga lori dan dua kenderaan pacuan empat roda yang membawa kulit buah durian untuk dibuang di lokasi itu.

“Kita akan buat pendakwaan terhadap mereka sebagai pengajaran kepada semua peniaga supaya tidak melakukan kesalahan serupa.

“Tahun lepas kita juga telah mendakwa seorang lelaki atas kesalahan membuang kulit durian di lokasi sama, yang akhirnya mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM18,000,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penutupan Operasi Bersepadu (Op Gempur) Pahang di pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang semalam, beliau berkata, mereka akan didakwa mengikut Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 627) yang boleh dijatuhi hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Turut hadir, Pengarah JAS negeri Mohd. Sani Mat Daud, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang Sharudin Hamid, Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kuantan DSP Ajit Singh Khale dan Timbalan Pengarah Jabatan Pelesenan Majlis Perbandaran Kuantan Izzat Zainal Muhammad Safian.

“Apa yang kita kesalkan ialah di Raub terdapat sebuah kilang yang menerima kulit durian secara percuma untuk diproses sebagai baja namun peniaga ini mengambil cara mudah dengan membuang kulit itu di kawasan tidak dibenarkan sehingga menimbulkan pencemaran bau dan menyakitkan pandangan,” kata Mohd Sharkar. – BERNAMA – SM

(Visited 652 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button