Mahkamah

Bekas penjawat awam mengaku tidak bersalah terima suapan

SEORANG bekas penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM149,600 sejak 2018 (yang didakwa berkaitan tugas beliau sebagai ejen Sukan Malaysia ke-19 (Sukma XIX) Perak sejak 2018.

Tertuduh, Herman Ibrahim, 45, bekas Pegawai Kebudayaan Kumpulan Selendang Perak, di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, dituduh melakukan kesalahan itu di tempat dan waktu berbeza ketika beliau bertugas sebagai ejen kepada Sekretariat Sukma XIX Perak 2018.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menerima wang berjumlah RM7,500 sebagai balasan daripada pemilik syarikat Pro Explore Event Management, Mohd. Zulkhibri Abdul Mutalib yang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh, di Public Bank Berhad, Jalan Sultan Idris Shah, di sini, pada 15 November 2018.

Bagi pertuduhan kedua pula, Herman didakwa menerima wang berjumlah RM 68,600 dengan tiada balasan daripada Raja Khairy Ehsan Raja Norddin melalui pemindahan wang ke dalam akaun pihak ketiga iaitu Syarikat Ohana Services untuk pembekalan bagi penubuhan syarikat dobi Eh Matrix Resources, milik bapa mertuanya, Bustanudin Bustamam, di cawangan Bank Rakyat, Medan Gopeng, Jalan Raja Dr. Nazrin Shah pada 14 Februari 2018.

Pertuduhan ketiga pula, dia didakwa menerima wang tunai berjumlah RM73,500 dengan tiada balasan daripada pemilik Syarikat Rainhousemusic, Raja Khairy Ehsan melalui pihak ketiga iaitu Maarof Ahmad yang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh di perkarangan Stadium Perak pada 18 Februari 2019.

Herman dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin meminta mahkamah mengenakan wang jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Perak, sebulan sekali.

Bagaimanapun peguam Khairilazwar Khalil yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM3,000 bagi setiap pertuduhan kerana masih menanggung tiga orang anaknya yang berumur antara 11 hingga 18 tahun.

“Tertuduh telah diberhentikan kerja sejak tahun lepas setelah berkhidmat selama 24 tahun di Pejabat Kebudayaan Setiausaha Kerajaan negeri Perak,” katanya.

Hakim, S. Indra Nehru, membenarkan tertuduh diikat jamin RM21,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan kediamannya, sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan 19 Ogos depan bagi pengurusan kes. – BERNAMA – SM

(Visited 115 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button