Burger McD masih elok selepas disimpan selama 5 tahun
SEORANG wanita berikrar untuk tidak makan makanan segera selama-lamanya selepas menemui burger keju McDonald’s yang disimpannya selama lima tahun.
Dilaporkan Mirror, Megan Condry yang bekerja sebagai seorang penyambut tetamu, mendakwa dia membeli dua burger keju dan kentang goreng dari pandu lalu McDonald’s pada November 2017.
Tetapi selepas dia memakan satu burger, dia melemparkan burger lain di belakang keretanya dan merancang untuk memakannya kemudian.
Bagaimanapun, wanita berusia 41 tahun dari Washington DC itu terlupa tentang burger tersebut selama beberapa hari.
Apabila dia menemui burger tersebut, dia tersedar bahawa burger itu masih lagi berada dalam keadaan baik dan tidak menjadi rosak.
Dia kemudiannya memutuskan untuk membuat percubaan bagi melihat berapa lama burger itu akan bertahan.
Megan mula menyimpan burger di belakang almari pakaiannya selama lima tahun dan menjumpainya semula pada bulan lepas ketika dia menyusun hiasan Krismasnya.
Dia terkejut dengan penemuan itu kerana burger tersebut langsung tidak berubah dan kelihatan sama seperti ketika dia membelinya walaupun teksturnya keras.
Roti, patty daging lembu dan keju, tidak menunjukkan tanda-tanda rosak.
McDonald’s berkata bahawa mereka hanya menggunakan 100 peratus daging lembu dan tiada pengawet dalam daging lembu mereka.
Setelah melihat hasil percubaannya, Megan berikrar tidak akan makan McDonald’s lagi malah meninggalkan makanan segera untuk menurunkan berat badan. – SM