Politik

Bukti Pas pertahan semangat setiakawan – Muhyiddin

TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan keputusan Pas untuk mempertahan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) membuktikan  semangat setia kawan dalam kalangan kepemimpinan parti itu.

Pengerusi PN yang juga Presiden BERSATU itu berkata, ia secara tidak langsung memberi suntikan semangat kepada PN untuk menggerakkan jentera secara lebih tersusun dan bersatu padu, dalam usaha meraih sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Saya amat menghargai keputusan Jawatankuasa Pas Pusat untuk memperkukuh kerjasama dalam PN bagi menghadapi PRU15.

“Secara peribadi, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas semangat setia kawan yang ditunjukkan oleh Tan Sri Abdul Hadi Awang, Presiden Pas dan rakan-rakan pimpinan Pas yang terus istiqamah mempertahan kerjasama Pas dalam PN,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Pas mengumumkan mempertahan kerjasama dengan PN dengan keputusan itu dibuat atas dasar penyatuan ummah.

Muhyiddin turut menzahirkan harapan supaya gabungan itu memperoleh kemenangan pada PRU15.

“Saya mendoakan semoga PN mendapat mandat rakyat dalam PRU15 untuk membentuk sebuah kerajaan yang benar-benar memberi tumpuan kepada kesejahteraan dan kemakmuran rakyat,” katanya. – SM

(Visited 204 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button