fbpx
Politik

Bukan isu PH kalah, undi belah bahagi bukti PN tiada majoriti

KEKALAHAN blok Pakatan Harapan dalam tiga undi belah bahagi Belanjawan 2021 yang berlangsung di Dewan Rakyat itu bukan satu isu.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, keputusan undi belah bahagi itu membuktikan Kerajaan Perikatan Nasional tidak mempunyai majoriti 112.

“Betul blok PH kalah dengan mendapat 95 bilangan tetapi PN walaupun dapat 106,107 dan 108 telah membuktikan dirinya tiada majoriti yang diperlukan iaitu 112.

“Beban bukti ada majoriti atau tidak terletak di bahu Tan Seri Muhyiddin Mohd. Yassin bukan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Setakat ini beban itu gagal dibuktikan.

“Isunya bukan PH kalah undi secara blok tetapi lebih besar daripada itu ialah Muhyiddin gagal sebanyak 3 kali untuk membuktikan keabsahan beliau sebagai PM yang ada mandat majoriti,” kata Mujahid.


Pakatan Harapan kalah dalam tiga undi belah bahagi Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa bagi tiga kementerian di Dewan Rakyat sebelum ini.

Dalam undian untuk meluluskan peruntukan kepada Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan Kementerian Perladangan, Industri dan Komoditi itu PH hanya mendapat 95 undian.

Sebelum ini Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga ahli Parlimen Port Dickson mendakwa mempunyai sokongan yang kuat untuk mengambil alih kerajaan daripada kepimpinan Muhyiddin.

“Peristiwa 3 kali blok voting bukan soal PH kalah tetapi ketiadaan majoriti di pihak Muhyiddn mencetuskan suasana bimbang kerana untuk melengkapkan majoritinya MP-MP berpotensi terdedah kepada ‘horse trading’atau tawar menawar harga untuk mendapat sokongan majoriti.

“Suasana ini pasti mencemarkan demokrasi yang mengasaskan konsep kebebasan memilih tanpa rasa takut atau balasan habuan.

“Krisis mandat adalah krisis politik dalam konteks demokrasi berparlimen Semakin lama prinsip mandat majoriti tidak dihormati semakin sakit dan luka demokrasi kita. Apatah lagi dalam suasana pandemik yang melanda kita, kita mengalami dwi krisis yang berterusan,” jelas Mujahid.

Beliau menyeru supaya demokrasi dipulihkan dan sembuhkan negara melalui keabsahan majoriti sebenar.

“Tiga kali undi sudah cukup kami membuktikan kerajaan PN adalah kerajaan tanpa mandat majoriti. Siapa yang patut malu?” kata Mujahid.-SM

 

(Visited 235 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button