LENGANG! Tidak seperti mana yang dijangka, keadaan lengang walaupun hari ini, 1 April, pintu sempadan Wang Kelian dibuka namun gagal menarik perhatian rakyat Thailand untuk masuk ke Malaysia.
Sekalipun tepat pukul 8 pagi pintu pagar Wang Kelian dibuka dan pintu pagar Wang Prachan pula dibuka pada pukul 8.30 pagi dengan disaksikan oleh wartawan, SHOLINA OSMAN, namun sedikit sahaja kelihatan jumlah penggembara atau pelancong.
Tinjauan SUARA MERDEKA mendapati sekalipun selepas empat jam pintu pagar sempadan dibuka, tidak sampai 10 orang kelihatan berurusan di kaunter Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (ICQ) Wang Kelian.
Boleh dikatakan kesemua penggembara (pelancong) dalam tempoh ini terpaksa berpatah balik kerana gagal mengemukakan ujian PCR.
Rakyat Thailand terawal memasuki pintu pagar Wang Kelian yang ditemui, Anatee J. Sasn, 24, dari Krabi berkata, dia ingin memasuki Malaysia kerana ingin menghantar adik perempuannya ke sekolah Maahad Tahfiz di Kedah.
Beliau mengakui, sudah menjangka dari awal lagi kemungkinan permohonan kemasukannya ke Malaysia hari ini akan gagal.
Anatee berkata, dia sebenarnya masuk ke ICQ lebih kepada mahu mendapatkan maklumat terperinci mengenai prosedur SOP.
“Hari ini saya gagal mengemukakan PCR, jadi saya akan kembali semula hari Isnin nanti sebab semua prosedur SOP lain sudah lengkap,” katanya dalam nada terkilan.
Sementara itu, seorang lelaki Perancis yang dikenali sebagai Gills berkata, permohonan untuk masuk ke Malaysia melalui Wang Kelian gagal sekalipun segala prosedur telah dilengkapkan.
“Penggembara (pelancong) seperti saya kena melalui pintu masuk Bukit Kayu Hitam,” katanya yang terkandas di Thailand selama lebih dua tahun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Didapati juga beberapa rakyat Thailand masuk ke ICQ hanya ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai prosedur SOP kemasukan ke Malaysia.
Khairul Anwar Aman, 36, pula berkata, dia menunggu ibu mertua bersama anak sulungnya dari Betong, Thailand di Wang Kelian, Malaysia.
“Saya dan isteri tidak pernah bersemuka dengan anak sulong sejak PKP,” katanya dalam nada teruja.
Beliau berkata, mertuanya juga gagal masuk hari ini kerana masalah PCR. – SM