Nasional

Budak perempuan 12 tahun maut direnjat elektrik guna telefon waktu ribut petir

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun maut setelah dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan telefon bimbit di rumahnya di Kampung Baru Sungai Raya Luar dekat Gua Musang, Kelantan semalam.

Ketua Polis Gua Musang, Sik Choon Foo berkata, bapa mangsa, M Nor Zawawi Awang melaporkan kejadian tersebut selepas dimaklumkan oleh isterinya bahawa anak mereka, Nur Asyqin Qistina pengsan di tempat tidur.

Ketika kejadian kira-kira pukul 4.50 petang itu, kawasan tersebut sedang dilanda ribut petir.

“Apabila selesai solat Asar di surau di hadapan rumah, pengadu mendengar bunyi petir, lantas pulang ke rumah dan dimaklumkan bekalan elektrik terputus,” katanya.

Beliau berkata, bapa mangsa kemudiannya menghubungi pembaiki inverter solar yang memaklumkan peralatan tersebut rosak akibat terkena panahan petir.

“Lebih kurang 15 minit kemudian, isteri pengadu memaklumkan anak mereka, Nur Asyqin Qistina pengsan di tempat tidur.

“Pengadu kemudian pergi ke tempat tidur anaknya dan mendapati anaknya tidak sedarkan diri dan di tangan kanan anaknya terdapat telefon bimbit serta ada pengecas telefon bimbit berdekatan anaknya,” ujarnya

Kata Sik lagi, turut terdapat kesan lecur di tangan kanan mangsa dan kesan terbakar pada tilam.

Beliau berkata, bapa mangsa kemudiannya membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Kuala Betis dan dia disahkan meninggal dunia.

“Hasil siasatan di tempat kejadian, tiada keterangan yang boleh mengaitkan kematian mangsa dengan perlakuan jenayah dan dipercayai (terdapat) kesan renjatan elektrik daripada kejadian panahan petir terhadap inverter solar rumah pengadu,” katanya.

Mayat  mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang pada malam tadi untuk bedah siasat. BERNAMA – SM

(Visited 255 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button