Nasionalpilihan

Buatlah siasatan namun jawapannya tetap sama, TLDM perlukan LCS – Kementerian Pertahanan

Kementerian Pertahanan sedia memberi kerjasama penuh bagi memastikan isu isu perolehan Littoral Combat Ship (LCS) yang mendapat pelbagai reaksi ‘hangat’ ketika ini diselesaikan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau bersama kementerian itu sanggup melakukan apa-apa sahaja demi kebaikan bersama.

“Kementerian Pertahanan mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung isu perolehan Littoral Combat Ship (LCS) sebentar tadi.

“Saya dan Kementerian Pertahanan akan lakukan apa-apa sahaja bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan serta memberikan kerjasama penuh kepada semua badan berkuasa yang melakukan siasatan,” katanya.

Hishammuddin berkata demikian sebagai maklum balas kepada cadangan Perdana Menteri yang mahu siasatan ke atas isu LCS disegerakan agar keraguan yang timbul dijernihkan.

Antara pihak yang terlibat dalam menjalankan siasatan adalah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) serta Audit Forensik.

Bagi Hishammuddin dan kementeriannya, tiada perkara yang hendak disembunyikan dan siasatan tersebut adalah sesuatu yang memang perlu dilaksanakan ketika ini.

“Saya dan barisan kepimpinan di Kementerian Pertahanan tiada sebarang perkara yang hendak disembunyikan sebaliknya hanya mahukan perkara ini dapat diselesaikan.

“Siasatan ke atas isu LCS perlu diteruskan demi kepentingan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), demi wang awam yang dibelanjakan serta kepentingan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Kementerian Pertahanan juga akan memberi jaminan bahawa keputusan Kabinet tersebut tidak akan mengganggu tiga perkara yang telah ditegaskan beberapa kali sebelum ini.

“Pertama, TLDM memerlukan LCS dan sebab itu ia mesti diteruskan selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada April 2022.

“Kedua, pihak yang salah tetap salah dan mesti dihadapkan ke muka pengadilan.

“Ketiga, dalam tempoh enam bulan ini, Kementerian Pertahanan juga sedang giat melakukan kerja-kerja rundingan dengan pihak OEM, vendor dan perbankan sebagai pelan mobilisasi bagi memastikan LCS dapat disiapkan,” jelas Hishamuddin.

Sehubungan itu bagi Hishamuddin, penting untuk semua pemegang taruh kekal fokus terhadap usaha meneruskan projek LCS bagi memastikan TLDM memiliki LCS yang sangat diperlukan dengan secepat mungkin.

Artikel berkaitan > PM arah SPRM segerakan siasatan isu kontroversi LCS

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button