fbpx
Jenayah

Bot nelayan tempatan gaji PTI warga Indonesia ditahan APMM

SEBUAH bot nelayan tempatan dikesan menggaji pekerja tanpa izin (PTI) warga Indonesia pada kedudukan 1.20 batu nautika timur Tanjung Tavajun, Sabah, ditahan pagi semalam.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan sebuah bot nelayan tempatan  itu pada kira-kira pukul 11 pagi.

Pengarah  APMM Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim, Mohd. Rosli Abdullah berkata, bot berkenaan ditahan oleh kapal maritim yang melakukan rondaan di kawasan perairan di daerah itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati 19 daripada 20 pekerja bot nelayan berkenaan gagal mengemukakan dokumen yang sah.

“Kesemua mereka dipercayai warga Indonesia berusia 20 hingga 44 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, lesen bot yang digunakan juga disyaki telah tamat tempoh.

“Pemilik bot telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959 dan Akta Perikanan 1985. Bot dan awak-awak kemudiannya dibawa ke Jeti Maritim Malaysia di Sepanggar untuk siasatan lanjut,” ujar beliau.

Mohd. Rosli juga  berkata, komuniti maritime diminta memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dengan melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kejadian kecemasan di laut menerusi talian 088-387774 atau MERS 999. – SM

Show More

Related Articles

Back to top button