Politik

‘Bossku’ guna rakyat sebagai strategi rebranding untuk Najib?

GELARAN Bossku dan tumpuan yang sering diperolehi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak setiap kali turun padang  sering menyebabkan ramai yang cemburu dan iri hati.

Sebab itu, walaupun tidak ada apa-apa jawatan dalam parti dan hanya seorang ahli parlimen biasa, serangan terhadap Najib tetap bertali arus.

Walaupun baru didapati bersalah dan masih perlu naik turun naik Mahkamah, itu semua tidak menjejaskan populariti Najib, dan sorakan Bossku pasti bergema setiap kali beliau membuat penampian di khalayak.

Maka muncul dakwaan Najib menggunakan jenama Bossku itu untuk menjenamakan semula atau rebranding dirinya bagi mendapatkan simpati.

Lebih teruk lagi, untuk tujuan rebranding tersebut, ahli Parlimen Pekan itu telah menggunakan rakyat.

Memang hebat apabila seorang pemimpin boleh menggunakan rakyat untuk melakukan rebranding ke atas dirinya.

Jika benar sekali pun bekas perdana itu melakukan rebranding atau memberikan imej baharu kepada dirinya yang nyata rakyat tidak akan memberikan sokongan membabi-buta.

Oleh itu jika benar Najib menggunakan rakyat untuk tujuan rebranding,  ia merupakan satu pakej rebranding yang hebat hingga menyebabkan serangan-serangan peribadi terhadap dirinya berterusan.

Pada satu sesi pertemuan dengan Suara Merdeka di rumahnya di Jalan Langgak Duta, Najib berkata, Bossku bukan sesuatu yang dirancang. Ia muncul secara spontan dan beliau sendiri tidak sangka penerimaan rakyat terhadapnya berubah selepas Barisan Nasional (BN) tewas teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

Katanya, Najib, ketika menjadi Pendana Menteri beliau ‘dipagar’ oleh kedudukannya dan oleh orang sekeliling yang mengambil kesempatan hingga tidak dapat menjadi dirinya sendiri dan melakukan apa yang dilakukannya sekarang.

Beliau sendiri tidak sangka Bossku boleh menjadi begitu.

Andai kata Bossku itu satu rebranding untuk Najib ia bukan sesuatu yang salah. Ramai lagi pemimpin yang melakukan rebranding, terutama selepas meletak jawatan, kena pecat dari parti atau baru keluar penjara.

Tetapi untuk rebranding dan mendapat sokongan rakyat ia memerlukan sebab lain.

Kalau dilihat dalam kes Najib, beliau ada dua sisi yang berbeza. Iaitu sisi sebelum PRU-14 san sisi selepas PRU-14.

Sebelum PRU-14, Najib menerima lebih banyak kecaman daripada sokongan. Dalam media sosial Najib sendiri, setiap hantaran yang dibuat pastikan dikecam hebat. Yang menyokong mungkin tidak sampai 10 peratus hingga membawa kepada rebahnya BN.

Pada masa itu rakyat yakin Pakatan Harapan (PH) adalah penyelamat mereka. Ditambah pula dengan propaganda-propaganda yang dimainkan oleh pemimpin PH ketika itu menyebabkan rakyat menolak BN dan Najib secara total.

Selepas PH membentuk kerajaan dan memerintah, keadaan mula berubah. Apabila menifesto gagal dilaksanakan dan janji tidak dapat ditunaikan rakyat mula gelisah.

Rakyat terutama pengundi atas pagar yang tidak cenderung kepada mana-mana parti politik merasakan mereka telah melakukan kesilapan dan telah tertipu. Mereka telah tersilap pilih kerajaan. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak pangkah kertas undi perlu tunggu lima tahun lagi.

Ketika itu Najib sudah melepaskan jawatan dalam parti dan tidak mahu masalah yang dihadapinya terutama kes mahkamah yang bertali arus turut terpalit kepada UMNO dan BN. Boleh dikatakan Najib bergerak secara solo.

Pada masa sama UMNO dan BN belum selesai melakukan ‘housekeeping’ dan masih belum pulih daripada kejutan PRU-14.

Dari situ muncul Bossku yang diharapkan dapat membantu mengetengahkan bantahan-bantahan dan rasa tidak puas hati rakyat terhadap dasar yang dilaksanakan kerajaan PH.

Bossku bukan gerakan politik, tetapi sekadar panggilan atas rasa solidariti serta manifestasi terhadap kekecewaan rakyat termasuk anak muda ekoran kerajaan yang mereka pilih tidak berperanan seperti yang diharapkan.

Sokongan kepada Bossku adalah manifestasi kepada kegagalan PH untuk mengotakan janji dan kegagalan para pemimpin pakatan untuk menghargai rakyat.

Ini bukan sekadar rebranding kepada Najib, tetapi mungkin juga rebranding kepada gerakan rakyat yang tidak lagi berpaksikan kepada parti atau organisasi tetapi lebih kepada pemimpin yang boleh membawa aspirasi mereka. – SM

 

(Visited 1,040 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button