Biarlah Presiden Terkait Dengan Rasuah, Akar Umbi Rela & Tetap Undi UMNO!
Baru-baru ini Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerima keputusan 47 pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan rasuah.
Keputusan dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Ahmad Zahid cuma tinggal beberapa hari untuk membela diri sebelum April depan.
Namun demikian, pertuduhan ini sedikit sebanyak sebenarnya memberi impak kepada UMNO Johor yang baru sahaja terlibat dalam gerak kerja membubarkan DUN Johor.
Mana tidaknya pada saat, UMNO sedang bersiap sedia untuk memujuk akar umbi kekal setia bersama parti selepas DUN Johor terbubar, berita tentang presiden menggoncangkan parti.
Pihak pembangkang yang tidak sebulu dan ditolak UMNO sudah tentu menggunakan sentimen ini untuk menjatuhkan moral UMNO.
Namun bagaimana pula dengan persepsi akar umbi? Adakah perkara ini diambil kira atau sekadar berbincang secara atas talian dan keputusan dibuat?
Mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid berpendapat UMNO perlu membersihkan parti itu daripada pemimpin-pemimpin yang terlibat atau terpalit dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
“Mereka hendaklah berundur atau disingkir. Terus terang saya telah menyebut nama DS Najib dan DS Zahid.
Penyokong-penyokong mereka, terutama sekali orang-orang DS Zahid, sangat marah kepada saya dan mengutuk saya, khususnya keadaan fizikal saya yang uzur itu. Saya tidak kisah,” katanya.