Bestinet keluarkan surat LOD kepada laman berita dalam talian
BESTINET Sdn Bhd (Bestinet) mengeluarkan surat tuntutan (LOD) terhadap dua portal berita bebas dan dua individu berikutan artikel yang dikeluarkan pada 4 Februari lalu mengandungi pernyataan fitnah.
Selain Bestinet, Datuk Sri Mohd Amin Abdul Nor turut surat mengeluarkan LOD terhadap kedua-dua portal berita dalam talian itu di atas alasan yang sama.
Bestinet dalam kenyataannya berkata, surat tuntutan itu memaklumkan bahawa kandungan pernyataan fitnah itu adalah berniat jahat, tidak benar dan tidak dapat dijustifikasikan.
“Pernyataan fitnah berkenaan merupakan serangan terhadap integriti dan reputasi Syarikat dan Mohd Amin, yang telah diheret ke dalam skandal, cemuhan dan kebencian orang awam,” kata Bestinet.
Mengulas lanjut Bestinet berkata, pihaknya dan Mohd Amin bersedia untuk menghentikan tindakan perundangan sekiranya portal berita dalam talian bebas itu dan dua individu berkenaan menghentikan tindakan seperti yang dinyatakan dalam LOD.
Syarikat dan Dato’ Sri Mohd Amin dalam pada itu mengekalkan hak dan kepentingan mereka di sisi undang-undang.
Pada 4 Februari lalu, dua portal dalam talian telah mengeluarkan satu laporan khas berkaitan sindiket perjanjian pekerja Malaysia – Bangladesh yang memberi tekanan ke atas Putrajaya yang apa disifatkan
sebagai “monopoli, eksploitasi dan manipulasi besar-besaran” dalam pengambilan pekerja asing Bangladesh di Malaysia.
Surat berdasarkan surat terbuka tanpa nama yang diedarkan kepada media. Surat itu, bertarikh 24 Jan, ditujukan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina.
Tiada tandatangan dalam surat terbuka itu yang dipercayai dikongsi oleh pemberi maklumat (whistleblower) dari dalam Putrajaya.
Bagaimanapun, kandungan utama, termasuk surat rasmi daripada Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia, sepadan dengan dokumen asal yang dilihat oleh Malaysiakini dan disahkan oleh sumber yang rapat dengan kerajaan.
Dokumen itu termasuk Surat Pernyataan Niat (LOI) dan Surat Setuju Terima (LOA) yang dikeluarkan oleh kerajaan kepada penyedia penyelesaian IT Bestinet Sdn Bhd dan agensi pengambilan tenaga kerja Synerflux Sdn Bhd – dua syarikat yang terlibat dalam menguruskan proses yang terlibat untuk mengambil pekerja asing – daripada permohonan majikan Malaysia hingga kelulusan mereka permit kerja di sini. – SM