Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sarawak sedia menerima dan akur dengan apa saja keputusan parti berhubung tindakan ke atas ahlinya yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 tanpa kebenaran.
Ini termasuk Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju membuat kejutan dengan bertanding di DUN Krian sebagai calon Bebas.
Sebelum ini Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, telah menegaskan mana-mana ahli yang bertanding tanpa kebenaran parti akan berdepan tindakan disiplin tegas termasuk keahlian boleh terhenti serta-merta.
Jaziri Alkaf berkata, Bersatu Sarawak kekal teguh dan tidak berbelah bahagi terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Sarawak yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg bagi memastikan kemenangan besar GPS pada pilihan raya berkenaan.
Katanya, ini demi meneruskan kesinambungan dan kepesatan pembangunan yang berjaya dilaksanakan selama ini.
Pada PRN Sarawak 18 Disember ini, Ali berdepan saingan empat penjuru menentang calon GPS, Friday Belik, Danny Kuan (PBK), dan Musa Dinggat (PSB).