Politik

BERSATU kini bankrap politik, jalan keluarnya PRU-15 – Nur Jazlan

KERELAAN Parti BERSATU berunding dengan rakan lamanya dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu PKR menggambarkan begitu terdesaknya Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mencari jalan melepasi `ujian getir’ sidang Parlimen Julai depan, seterusnya kelulusan belanjawan akhir tahun ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed menarik perhatian tindakan terdesak melamar Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan partinya itu juga menidakkan usaha `pemecah’ PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang telah meletakkan Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU sebagai Perdana Menteri.

Tindakan berunding itu juga, tegas beliau, bercanggah dengan sebab utama Muafakat Nasional (MN) diketuai UMNO-Pas memberi sokongan kepada Muhyiddin untuk menidakkan Anwar sebagai “PM ke-9” yang didukung DAP.

“Tindakan divide and rule ini menunjukkan jelas bahawa BERSATU sudah bankrap politik dan cuba melaga-lagakan parti pendukung Perikatan Nasional (PN) yang jauh lebih kuat akar umbinya.

“BERSATU tak payahlah nak berdolak-dalik untuk memanjangkan hayat politik mereka. Hanya pilihan raya umum segera (snap election) sahaja boleh memberi penyelesaian kepada kemelut politik negara sekarang khususnya buat `hayat politik pemimpin mereka’,” kata beliau kepada SUARA MERDEKA hari ini.

Nur Jazlan mengulas pengesahan Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul kepada portal Malaysiakini kelmarin bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga presiden PKR sebelum ini telah berjumpa dengan beberapa pemimpin di “blok sebelah”.

Johari yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani berkata, Anwar memaklumkan perkara itu pada mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan anggota parlimen PKR yang dibuat secara dalam talian pagi Jumaat lalu.

Antara nama pemimpin yang disebut termasuk Muhyiddin; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan pemimpin kerajaan Sarawak.

Bagaimanapun, kata Johari, Anwar tidak mengulas lanjut hasil perbincangan dalam mesyuarat tersebut.

“Dia jumpa Muhyiddin dan Hamzah. Dia jumpa banyak orang, kecuali (bekas perdana menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak sahaja dia tak jumpa.

“Kami masih bawa agenda reformasi, perjumpaan tidak semestinya setuju dengan dia orang. Juga tidak bermaksud mereka setuju dengan kita.

“Tapi kita mesti jual agenda reformasi,” kata pengerusi PKR Kedah itu kepada portal berkenaan.

Nur Jazlan seterusnya mempersoalkan apakah tindakan selanjutnya oleh BERSATU andai kata perundingan BERSATU-PKR itu disepakati.

“Adakah langkah untuk menarik PKR dari PH ini akan berjaya melumpuhkan PH? Dan selepas itu Tun Dr. Mahathir Mohamad akan dijemput masuk semula ke BERSATU?

“Adakah tujuan akhirnya untuk Dr. Mahathir diterima semula oleh UMNO selepas PRU-15 dengan alasan perpaduan Melayu. Perkara itu tidak mustahil kerana perbuatan masuk keluar masuk UMNO ini telah dibuat oleh bekas Perdana Menteri yang juga PM ke-7 itu selama 50 tahun,” kata Nur Jazlan.- SM

(Visited 515 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button