Luar Negara

Berpuluh mati sehari tetapi tiada siapa peduli

LEBIH 36 maut kebanyakannya kanak-kanak dalam serangan berterusan tentera regim Bashar al Assad dan sekutunya, Rusia ke atas kawasan pinggir Idlib dan Aleppo dalam tempoh 24 jam.

Jumlah mangsa dijangka bertambah kerana sehingga kini tiada petanda serangan akan berhenti.

Angka itu dikongsi Anas al Shamy di laman Facebooknya,

“Sebanyak 36 syahid, kebanyakan mereka kanak-kanak akibat pengeboman ke atas kawasan pinggir Idlib serta Aleppo dan sehingga kini pengeboman masih berterusan”, tulisnya.

Sehingga kini tiada sebarang petanda yang regim Bashar serta sekutunya, Moscow akan menghentikan serangan meskipun Rusia mengisytiharkan gencatan senjata 12 Januari lalu.

Syria Campaign melaporkan kawasan yang dianggap selamat seperti barat serta selatan Aleppo sebelum ini telah dibom tanpa henti untuk enam hari berturut-turut.

Tidak terkecuali Idlib.

“Saban hari kami melihat bilangan kematian yang semakin meningkat. Sungguh sedih apabila kita melihat begitu banyak keluarga tidak mempunyai tempat untuk dituju. Mereka ini menjadi saksi kematian di setiap penjuru. Kami cuba membantu mereka sebaik mungkin namun terlalu banyak kesakitan dan kepedihan. Jenayah perang yang terpaksa kami saksikan tidak tertanggung lagi.” antara status yang dimuatnaik dan dikongsi sukarelawan White Helmets, Ibrahim Haji Ibrahim di laman Facebooknya.

Catatan yang sama turut dikongsi Pengurus Kesh Malek Organization, Mohammed Barakat.

Dia yang bersama keluarga terpaksa keluar dari Urem, barat Aleppo ekoran serangan tanpa henti tentera regim khuatir nasib sama akan menimpa seperti mana yang dialami penghuni Maarat al Nu’man dan Kafr Nabl yang dibom berterusan sehingga kosong.

Dia kini bersama ratusan ribu pelarian terpaksa bergelandangan untuk menyelamatkan nyawa dan terpaksa menempuh 1001 dugaan.

“Dengan musim sejuk yang membeku mereka yang melarikan diri bergelut untuk mendapatkan tempat berlindung, sebahagian mereka tidak mampu mendapatkan pengangkutan dengan khemah yang sesak dan sewa mahal, ia hampir mustahil. Sebahagian terpaksa tinggal di ruang terbuka atau bangunan tinggal tanpa kemudahan asas,” tulisnya dan kemudian dikongsi di laman Facebook Syria Campaign. Foto Syria Campaign

Razali Awang
Media Syria Care

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button