Alam SekitarBeritaEkonomiNasional

Berpeluang Turun Padang Agih Daging Korban, Puteri Sarah Teruja Dapat Berbakti Kepada Masyarakat

Tidak mahu ketinggalan menabur bakti, pelakon Puteri Sarah mengambil kesempatan menyantuni masyarakat di Merbok, Kedah, dengan mengagihkan daging korban.

Kerja amal itu dilakukan beliau bersama Pertubuhan Kami Insan Tanah Air (KITA), selama dua hari bermula semalam.

“Alhamdulillah dan terima kasih kepada Pertubuhan Kami Insan Tanah Air, kerana memberi peluang kepada saya untuk bersama mereka menyantuni warga Merbok dengan agihan daging korban sempena Aidiladha tahun ini”.

“Saya menerima pelawaan untuk menyertai program ini melalui Pegawai Khas Pengerusi Tenaga Nasional Berhad, TNB, Aizat Azam, kerana saya merasa terpanggil untuk turun padang membantu masyarakat yang mengalami kesukaran diwaktu pandemik Covid-19 sekarang ini.

“Ini bukan soal mencari publisiti disebalik kesusahan orang lain, tetapi ini untuk menginsafkan dan muhasabahkan diri saya sendiri dengan melihat kesusahan orang lain”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sejumlah lima ekor lembu dikorbankan menerusi Program Ibadah Korban Perdana ini.

Keseluruhannya, sebanyak 600 pek daging berjaya dibungkus dan diagihkan kepada warga Merbok dalam tempoh dua hari program.

“Saya berjalan kaki masuk ke kampung dan taman perumahan, pergi dari rumah ke rumah mengagihkan daging korban. Sangat menyentuh hati saya apabila dapat bertemu dengan masyarakat kampung dan melihat sendiri kehidupan mereka”.

Selain daging korban, turut diagihkan barangan keperluan harian dan bahan makanan.

“Bagi saya, ini sahaja caranya untuk turun padang melihat sendiri masyarakat. Saya tak kisah walaupun ramai yang tidak mengenali saya apabila saya ke rumah mereka menyampaikan daging korban itu. Yang penting bagi saya, mereka disantuni dan diambil peduli oleh kita semua”.

“Pada masa sama, saya juga menyeru agar rakan-rakan artis lain turut mengambil kesempatan seperti ini untuk menyantuni masyarakat dengan kerja-kerja amal kebajikan,” katanya.

Sementara itu, menurut Aizat Azam yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Merbok, program agihan daging korban itu akan diteruskan setiap tahun sebagai sebahagian daripada sambutan Aidiladha dan juga untuk berkongsi kegembiraan dengan warga Merbok yang memerlukan bantuan.

“Kami sebagai Pemuda di Merbok sentiasa prihatin dan melaksanakan tanggungjawab sosial kami dengan pelbagai cara. Bukan sahaja daging korban, sebelum ini kami juga mengedarkan barangan keperluan asas lain iaitu bakul makanan untuk mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19”.

Tambah beliau, program Ibadah Korban Perdana Pemuda Merbok mula dilaksanakan sejak tiga tahun lalu.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat di dalam penganjuran program ini terutama Pertubuhan Kami Insan Tanah Air (KITA) kerana sudi bersama Pemuda UMNO Merbok dan ini merupakan kali pertama KITA menjalin kerjasama dengan kami.

“Saya harap jalinan kerjasama ini akan diteruskan di dalam lain-lain program kebajikan untuk rakyat Merbok”, katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button