BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta semua pihak di Sabah kembali berdamai demi kebaikan rakyat Sabah.
Katanya, semua pihak tidak kira kawan atau lawan perlu kembali berdamai kerana tempoh berbalah sudah selesai dan rakyat sudah membuat keputusan.
Katanya, sekarang adalah masa untuk mentadbir bukan lagi bersorakan yang mana ia memerlukan semua kembali berdamai tanpa mengira ideologi politik.
“Saudara-saudari rakyat negeri Sabah, kempen sudah berakhir. Tempoh berbalah, bercakap, berucap, berceramah sudah berakhir. Tiba masanya kita mentadbir.
“Ini bukan masanya bersorakan. Kerana kerja kita sudah bermula. Berdamailah semua! Tidak kira ideologi politik, kawan atau lawan.
“Bersama-sama semula untuk rakyat Sabah,” katanya melalui hantara di Facebook.
Katanya, rakyat telah bersuara dan pilhan mereka perlu dihormati.
Menurut beliau peralihan pentadbiran kerajaan negeri juga tidak patut ditangguhkan atau dilengahkan lagi kerana negeri itu dalam keadaan yang tidak baik.
“Berturut-turut dua tahun ekonomi dan pembangunan Sabah terhenti. Pendapatan rakyat jatuh. Rakyat hilang kerja. Graduan tiada kerja baru. Pertumbuhan hampir sifar. Kebajikan dan bantuan tiada.
“Kehidupan rakyat amat susah. Banyak yang perlu kita lihat semula. Banyak yang perlu kita rancang. Banyak yang perlu kita laksanakan.
“Kita ada kerja untuk dilakukan dan kita perlu bertindak cepat untuk selamatkan Sabah. Masa tidak menunggu kita.
“Rakyat dan negeri Sabah perlukan kita sekarang,” katanya. – SM