pilihanPolitik

Belum ada pemberitahuan mengenai status enam Ahli Parlimen Bersatu, kata Speaker

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, beliau belum menerima sebarang notis rasmi berhubung kerusi enam Ahli Parlimen Bersatu yang dilucutkan keahlian parti mereka baru-baru ini.

Katanya, beliau juga memerlukan masa untuk meneliti semua perkara itu dengan teliti terutama membabitkan undang-undang antilompat parti sebelum membuat sebarang keputusan.

“Buat masa ini belum ada (notis) lagi. Apa yang berlaku di luar itu kepada saya ialah ‘bising’ dan selagi saya tidak menerima (apa-apa) secara hitam putih (daripada) parti, apa sahaja tindakan yang diambil oleh parti terhadap ahli-ahlinya…bukan saya bidang kuasa saya tidak sepatutnya campur tangan.

“Kedua, saya mengambil sikap bahawa mereka adalah ahli parti tetapi apabila mereka mengangkat sumpah untuk menjunjung Perlembagaan dan taat setia kepada Malaysia sebelum saya, saya perlu memikul tanggungjawab untuk mempertahankan kebebasan dan hak Parlimen,” katanya di Kyoto, Jepun pada Jumaat (7 Jun) seperti yang dilaporkan oleh BERNAMA.

Johari bercakap kepada media sebelum dibawa ke Kyoto State Guest House, penginapan rasmi untuk tetamu negara Jepun.

Beliau sedang dalam lawatan rasmi lima hari ke Jepun bersama delegasi Parlimen Malaysia sejak Isnin (3 Jun) atas jemputan Speaker Dewan Rakyat Jepun, Fukushiro Nukaga.

Mengulas lanjut, Johari berkata sebagai Speaker, beliau akan bertanggungjawab menilai setiap tindakan wakil rakyat sebagai Ahli Parlimen dan bukannya ahli parti politik.

“Bagi saya mengambil tindakan, saya mesti (berhati-hati) dalam segala-galanya, setiap aspek, kerana apa sahaja keputusan yang saya buat (bukan sahaja) akan memberi kesan kepada ahli parti atau Ahli Parlimen tetapi juga negara.

“Saya mengambil sikap sangat berhati-hati dan selagi tidak pasti, saya tidak akan membuat keputusan terlebih dahulu.

“Saya berhati-hati bukan sahaja dari sudut undang-undang dan moral (tetapi) saya perlu memastikan tindakan saya betul.

“Saya tidak mahu dipersalahkan atau rasa bersalah apabila saya tidak berada dalam jawatan ini nanti,” katanya.

Keahlian parti bagi enam ahli parlimen itu ditarik balik selepas mereka gagal menjawab arahan bertulis daripada majlis pimpinan tertingginya untuk berikrar taat setia kepada Bersatu.

Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang). – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button