Nasional

Bekas wartawan Tajuddin Saman meninggal dunia

PEMENANG Anugerah Kajai 1990 yang merupakan bekas wartawan Berita Harian, Tajuddin Saman, meninggal dunia di rumahnya di Presint 9 Putrajaya hari ini.

Tajuddin, 72, meninggalkan seorang isteri, Rohmah Ibrahim, 63, enam anak – lima perempuan dan seorang lelaki – serta sembilan cucu.

Tajuddin sebelum ini dilaporkan menghidap angin ahmar dan hanya terbaring sejak 2012.

Anak kelimanya, Nurhani, 32, berkata, bapanya baru keluar dari Hospital Putrajaya petang semalam setelah mendapatkan rawatan sejak Jumaat lepas akibat batuk berkahak.

“Sewaktu arwah menghembuskan nafas terakhir, saya, mak dan adik ada di sisinya.

“Kehilangannya amat terasa kerana sejak dia terlantar akibat strok, saya banyak meluangkan masa menjaganya,” katanya yang ditemui di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin di sini.

Penolong Pegawai Penilaian di Jabatan Penilaian itu berkata jenazah bapanya akan disembahyangkan di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin selepas maghrib.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Selatan di Presint 20 di sini selepas solat isyak.

Jawatan terakhir Allahyarham ialah sebagai Setiausaha Akhbar kepada bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Azmi Khalid.

Tajuddin juga pernah menjadi setiausaha akhbar kepada bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Osman Arof dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin.

Beliau juga merupakan penulis buku ‘Dari Kodiang ke Jalan Riong’ mengenai kerjayanya sebagai wartawan. – BERNAMA

(Visited 226 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button