NasionalNegeriPendidikan

Bekas peserta program realiti Qari Junior 2017 pilih POLIMAS Jitra

POLITEKNIK Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) Jitra, Kedah tahun ini menerima bukan calang-calang pelajar baharu apabila menjadi pilihan peserta program realiti Qari Junior 2017 terbitan TV3.

Muhammad Harith Hakimi Mohd Rostan,18, memilih untuk mengikuti program Diploma Kejuruteraan Elektrik di POLIMAS Jitra.

Muhammad Harith Mohd Rostan Qari Junior 2017 memperdengar bacaan Al Quran ketika berumur 12 tahun.

Sekalipun beliau telah menjadi Naib Johan Qari Junior ini sejak enam tahun lalu, kehadirannya semasa pendaftaran pada 20 Ogos lalu telah disedari sehingga menjadi tumpuan.

Rata-rata ramai yang masih mengenali dan mengingati wajah anak muda ini yang masih tidak berubah sekalipun semasa pertandingan itu diadakan, beliau berusia 12 tahun.

Muhammad Harith Hakimi juga pernah menyertai Program Ti – Jannor 2017 peringkat antarabangsa pada Mei 2017 di Qatar di mana beliau mendapat tempat kelima.

Anak kedua dari empat adik beradik, Muhammad Harith Hakimi dilahirkan di Hospital Selayang, Selangor dan ayahnya bekerja sebagai peniaga di Kuala Lumpur.

Menurut Muhammad Harith Hakimi, beliau sangat meminati bidang kejuruteraan elektrik sejak dari bangku sekolah.

Bekas Sekolah Menengah Kebangsaan Kepong, Selangor ini memberitahu, beliau bercita-cita menjadi Jurutera Elektrik.

Ditanya kenapa memilih POLIMAS, beliau menyatakan, POLIMAS merupakan tempat ayahnya belajar dahulu di peringkat diploma dan dari cerita ayahnya, POLIMAS adalah tempat pengajian yang hebat dan banyak pengalaman yang diperoleh semasa menjadi pelajar di sini.

Di samping itu katanya, POLIMAS mengenakan bayaran yuran yang sangat murah berbanding Institut Pendidikan Tinggi (IPT) yang lain, kamsis yang selesa dan peluang pekerjaan adalah tinggi.

“Saya sangat berminat dengan bidang kejuruteraan elektrik ini sejak dari sekolah lagi, saya pernah mengikuti ayah dan membantu beliau  membuat kerja-kerja pendawaian atau wiring,” katanya dalam kenyataan media oleh POLIMAS.

“Alhamdulillah POLIMAS telah menerima permohonan saya untuk menyambung pelajaran ke peringkat Diploma bagi sesi ini dan saya berjanji pada diri sendiri, akan belajar bersungguh-sungguh untuk menggenggam segulung diploma sehingga akhir pengajian nanti,” katanya.

Pendaftaran Pelajar Baharu POLIMAS Sesi 1-2023-2024 semalam. – Gambar Ihsan POLIMAS

Sementara itu, Pengarah POLIMAS, Rosli Idris berkata, Muhammad Harith Hakimi merupakan salah seorang pelajar baharu yang mendaftar dalam pengambilan Sesi I – 2023/2024, baru-baru.

Sememangnya apa yang dinyatakan oleh Muhammad Harith Hakimi adalah benar kerana POLIMAS merupakan institusi pendidikan TVET yang menawarkan yuran yang paling murah berbanding institusi lain dan tidak pernah dinaikkan yuran pengajian sejak penubuhan Politeknik Ungku Omar di Perak.

“Kebolehpasaran POLIMAS juga adalah tinggi pada tahun 2021 dengan 97.4 peratus pelajar POLIMAS mendapat pekerjaan setelah menamatkan pengajian di POLIMAS,” katanya.

Katanya lagi, pihaknya amat mengalu-alukan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia SPM melanjutkan pengajian ke POLIMAS dengan bayaran yuran rendah, fasiliti dan kemahiran yang lengkap untuk melatih pelajar dalam pendidikan TVET. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button