Jenayah

Bekas Penolong Setiausaha Eksekutif Pengakap didakwa pecah amanah

MELAKA 11 Jan. – Seorang bekas Penolong Setiausaha Kerja Eksekutif Majlis Pengakap Negeri Melaka (MPNM) hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh di sini di atas 30 pertuduhan pecah amanah bernilai RM63,400 sejak tujuh tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Daniel Osman, 32, membuat pengakuan tersebut selepas kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta milik MPNM untuk kegunaan diri sendiri dan kutipan sewa tersebut tidak dimasukkan ke dalam akaun pertubuhan itu melibatkan bayaran sewa tiga premis berjumlah antara RM1,000 hingga RM4,000 sebulan dalam tempoh tujuh tahun.

Perbuatan itu dilakukan di premis milik pertubuhan itu di Lot 674, Jalan Melaka Raya 8, Taman Melaka Raya, Melaka antara 15 Oktober hingga 30 Januari 2018.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan jika bersabit kesalahan boleh dipenjara lima tahun, denda dan sebat.

Kes tersebut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Elesabet membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000. Mahkamah turut mengarahkan tertuduh melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM, Melaka.

Bagaimanapun, tertuduh memohon mahkamah untuk mengurangkan jaminan memandangkan tertuduh hanya meniaga
air boba di tepi jalan dan menghidap penyakit diabetis dan darah tinggi yang kronik. Manakala, isterinya baharu mendapat pekerjaan sambilan di Klebang.

Sebutan semula kes tersebut ditetapkan pada 14 Februari ini.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button