Nasional

Bekas Pengurus GLC, anak direman 7 hari

BEKAS pengurus syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan dua anaknya direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes penyalahgunaan kuasa membabitkan pemberian projek bernilai lebih RM50,000 kepada dua anaknya itu.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim selepas membenarkan permohonan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi tadi.

Harian Metro melaporkan, ketiga-tiga suspek diwakili peguam Syahrul Syazwan Salehin sebelum itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Johor Bahru pada pukul 8.25 pagi dengan diiringi pegawai SPRM.

Media malam tadi melaporkan, seorang bekas pengurus syarikat GLC yang baru sahaja selesai direman berhubung kes rasuah bagi mendapatkan kerja kontrak perladangan telah ditahan semula oleh SPRM petang semalam.

Suspek berusia 61 tahun itu ditahan semula bagi membantu siasatan satu lagi kes penyalahgunaan kuasa membabitkan pemberian projek kepada dua orang anaknya.

Suspek sepatutnya dibebaskan daripada tahanan reman semalam berkaitan kerja kontrak perladangan selepas direman sejak 6 Januari lalu.

Suspek ditahan di Pejabat SPRM bersama dua anak lelakinya yang masing-masing berusia 28 dan 34 tahun antara pukul 4 hingga 4.30 petang semalam.

Pada 6 Januari lalu, bekas pengurus syarikat GLC itu ditahan sebelum direman bersama seorang lagi pengurus syarikat bagi membantu siasatan kes kontrak perladangan berkenaan.

Pengurus syarikat berusia 61 tahun itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas tempoh reman lima hari terhadapnya tamat semalam.

Menurut sumber, sekitar Disember tahun lalu, suspek yang sebelum ini bertugas sebagai pengurus GLC di Segamat, Johor memberikan beberapa kerja projek kepada dua anaknya yang memiliki syarikat sendiri.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek dan dua anaknya itu. – SM

(Visited 288 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button