fbpx
Luar Negara

Bekas Menteri Pertahanan Iraq era Saddam Hussein meninggal dunia

Sultan Hashim meninggal kerana serangan jantung

BEKAS Menteri Pertahanan Iraq yang pernah berkhidmat ketika era pemerintahan Saddam Hussein, Sultan Hashim, meninggal dunia semalam.

Menurut laporan Agensi Berita Anadolu, Sultan Hashim meninggal akibat serangan jantung di sebuah penjara.

“Bekas Menteri Pertahanan, Sultan Hashim meninggal malam ini di penjara al-Hoot,” kata Qasim as-Saadi, pembantu kesihatan di Jabatan Kesihatan Dhi Kar.

Menurut pegawai itu lagi, Sultan Hashim menderita pelbagai penyakit kronik sejak beberapa tahun lalu.

Dilahirkan pada tahun 1944, Sultan Hashim antara tokoh terkemuka era Saddam Hussein dan menyertai semua peperangan yang dilalui Iraq sejak 1980-an termasuk perang Iraq-Iran serta perang Teluk pertama dan kedua.


Beliau juga mengetuai delegasi Iraq semasa rundingan gencatan senjata dengan pasukan gabungan antarabangsa pada 1991 setelah pencerobohan Saddam di Kuwait pada 1990.

Berkhidmat sebagai menteri pertahanan antara tahun 1995-2003, Sultan Hashim dikehendaki Amerika Syarikat dan beliau menyerah diri pada tahun 2003.

Sultan Hashim dijatuhi hukuman mati pada 2007 tetapi tidak dilaksanakan kerana mendapat tentangan pihak berkuasa Iraq. –  SM

Show More

Related Articles

Back to top button