Nasional

Bekas duta Bangladesh tahu mengapa mahu mengekstradisinya

BEKAS Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia, Mohamed Khairuzzaman berkata, beliau tahu mengapa kerajaan Bangladesh mahu mengekstradisinya.

Beliau berkata, ia adalah atas dakwaan peranannya dalam “pembunuhan dalam penjara” empat pemimpin tertinggi Liga Awami kerajaan semasa yang memerintah di Bangladesh.

Katanya, pihak Suruhanjaya Tinggi mula bertanya mengenai dirinya sejak lapan bulan lepas menerusi warga Bangladesh yang tinggal sekitar kondominiumnya di Ampang.

“Namun mereka menelefon saya untuk mengingatkan saya agar berhati-hati. Mereka juga memberitahu saya, ‘jangan pergi ke sana, jangan pergi ke sini.’

“Suruhanjaya Tinggi bertanyakan alamat kediaman saya dan pihak berkuasa Bangladesh juga mencari saya di rumah saya di Dhaka dan di kampung saya,” jelas beliau.

Khairuzzaman menjadi Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia pada tahun 2007 dan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang membenarkannya menetap di Malaysia.

Beliau enggan kembali ke negara asalnya apabila Liga Awami memegang tampuk pemerintahan pada tahun 2009 dan mengarahkannya pulang untuk berdepan dengan perbicaraan berhubung pembunuhan bapa pengasas negara itu, Sheikh Mujibur Rahman pada tahun1975.

Khairuzzaman dipenjarakan hampir lima tahun selepas dipanggil pulang pada 1996 dari Manila, Filipina di mana beliau berkhidmat sebagai duta.

Kerajaan Bangladesh dikatakan menuduhnya terlibat dalam pembunuhan empat pembantu Sheikh Mujibur Rahman.

Khairuzzaman adalah antara beberapa diplomat di seluruh dunia yang diarahkan untuk kembali ke Bangladesh dalam tempoh enam hari tetapi hanya beliau yang berbuat demikian.

Diplomat lain dibicarakan secara in absentia dan dijatuhi hukuman mati tetapi mahkamah tidak dapat mencari keterangan yang mencukupi untuk mendakwa Khairuzzaman.

Amnesty International kemudiannya menggambarkan Khairuzzaman sebagai tahanan politik dan tahanan hati nurani.

Mahkamah di Bangladesh akhirnya membebaskan Khairuzzaman yang kemudiannya mendapat semula jawatannya melalui tribunal pentadbiran.

Beliau kemudian dinaikkan pangkat di Kementerian Luar dan ditempatkan di Myanmar dan Malaysia sebagai Pesuruhjaya Tinggi.

Pada 2010, kerajaan Bangladesh merujuk kepada Mahkamah Agung bagi membicarakan semula kes pembunuhan pada 1975 itu tetapi Peguam Negara dan ketua pendakwa raya diberitahu, kes tidak boleh dibicarakan dua kali. Kes itu ditarik balik.

Bagaimanapun tahun ini, laporan media Bangladesh memetik pegawai kerajaan sebagai berkata, Khairuzzaman harus dibawa pulang sekali lagi untuk berdepan tuduhan pembunuhan pada tahun 1975 itu.

“Dakwaan ini semuanya rekaan. Kerajaan hanya mahu kelebihan politik dan mengalihkan perhatian daripada krisis yang sedang dihadapinya,” kata Khairuzzaman menurut laporan FMT, namun enggan mengulas lanjut.

Pasukan guaman bekas diplomat itu berkata, penahanannya di Malaysia menyalahi undang-undang kerana beliau seorang pencari suaka politik dengan kad UNHCR dan tidak melakukan sebarang kesalahan Imigresen.

Pada 15 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan perintah penangguhan sementara terhadap Jabatan Imigresen daripada menghantar pulang Khairuzzaman ke Dhaka.

“Saya ingin berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan sistem kehakiman atas perkara ini. Saya juga menghargai Jabatan Imigresen kerana melayan saya dengan baik sepanjang saya ditahan. Saya tidak rasa saya akan dapat perbicaraan yang adil jika saya kembali (ke Dhaka),” katanya. – SM

 

(Visited 333 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button