Nasional

Bekalan dan harga ayam isu serius masa kini – PM

KERAJAAN mengambil beberapa langkah jangka pendek bagi berhadapan dengan isu bekalan dan harga ayam pada masa kini. Langkah-langkah yang diambil adalah seperti berikut:

i. Menghentikan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan bermula 1 Jun ini sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil (Keutamaan Kerajaan adalah Rakyat sendiri)
ii. Mewujudkan stok penimbal ayam dan mengoptimumkan fasiliti penyimpanan bilik sejuk sedia ada milik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan agensi.
iii. Memansuhkan Approved Permit (AP) ayam termasuk ayam bulat dan keratan ayam bertujuan meningkatkan peluang penglibatan pengimport untuk menyediakan lebih banyak sumber bekalan.
iv. Mempermudahkan proses tuntutan subsidi oleh pengeluar ayam.
v. Menambah dan mengiktiraf loji sembelihan di luar negara bagi meningkatkan pengeluaran bekalan ayam Kerajaan sedar terdapat laporan bahawa wujud kartel yang mengawal harga dan pengeluaran ayam dalam kalangan syarikat besar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet dalam kenyataannnya.

Beliau berkata, Kerajaan mengambil berat dan memandang serius isu peningkatan harga dan bekalan ayam semasa yang menghimpit seluruh Keluarga Malaysia.

Ismail Sabri berkata, Kerajaan kesal dan kecewa terhadap tindakan beberapa syarikat yang menghentikan bekalan ayam sehingga menyebabkan berlakunya peningkatan harga dan kekurangan bekalan di pasaran.

Katanya, ketika ini, Kerajaan telah menetapkan harga siling ayam standard pada harga RM8.90 seekor dengan pemberian subsidi sebanyak RM729.43 juta di bawah Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) yang dilaksanakan sejak 5 Februari lalu.

“Bagaimanapun, pihak Kerajaan mendapati beberapa syarikat besar yang tidak berminat untuk memohon subsidi dan mahukan Kerajaan membiarkan harga ayam ditentukan sendiri oleh pasaran.

“Setakat ini, hanya RM50 juta subsidi telah dibayar kepada penternak yang kebanyakannya adalah syarikat kecil,” jelasnya.

Sementara itu, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang menyiasat perkara ini dan siasatan dijangka selesai pada bulan Jun ini.

“Jika didapati wujud kesepakatan kartel tersebut, Kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

“Pada masa yang sama, Kerajaan akan mengurangkan peranan orang tengah yang selama ini memanipulasi bekalan dan harga.

“Kerajaan akan memperkenalkan semula Jihad memerangi orang tengah yang telah saya perkenalkan pada tahun 2014,” kata Perdana Menteri Ismail.

Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) diberikan peranan untuk mengetuai Jihad Memerangi Orang Tengah ini.

 

Dalam masa yang sama, beberapa pandangan berkaitan penanaman jagung untuk menjadi alternatif kepada makanan ayam turut diterima.

Kerajaan meminta MAFI dan KPNDHEP melakukan pemantauan dan pemeriksaan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan (PeraturanPeraturan Kawalan Bekalan 1974 ).

Sementara itu, susulan daripada pengumuman Ismail Sabri sebelum ini berkaitan pemansuhan AP bahan makanan, Kabinet  bersetuju supaya AP gandum dibatalkan.

Semua kementerian juga diminta menyenaraikan AP bagi barangan lain yang boleh dimansuhkan untuk menjaga kepentingan pengguna Keluarga Malaysia, katanya.

“Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjejaskan kehidupan rakyat.

“Sehubungan itu, saya memohon agar Keluarga Malaysia menyokong tindakan yang dilakukan oleh pihak Kerajaan ini demi menjaga kepentingan rakyat yang terhimpit dengan peningkatan harga dan kos sara hidup serta kekurangan bekalan, “ katanya. – SM

(Visited 236 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button