Nasional

HFMD pula serang murid pra sekolah di Alor Gajah

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 24 Mei – Selepas taska dan tadika, kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) kini pula menyerang
kanak-kanak pra sekolah membabitkan 39 murid daripada 21 sekolah di negeri ini.

Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Gajah merekodkan kes paling tinggi apabila murid berusia antara lima hingga
enam tahun disahkan dijangkiti HFMD.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Teknologi, Datuk Rais Yasin berkata, ada di antara sekolah di Alor
Gajah merekodkan empat murid dijangkit penyakit tersebut.

Menurutnya, setakat ini kes HFMD masih terkawal dan sehingga kini tidak ada kelas pra sekolah diarahkan
tutup oleh Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM).

“Tumpuan diberikan kepada sekolah rendah di Daerah Alor Gajah berikutan jumlah kes tertinggi direkodkan
di Melaka setakat ini.

“Daripada jumlah itu seramai 38 murid pra sekolah di 21 sekolah rendah di Alor Gajah dilaporkan dijangkiti
HFMD manakala satu lagi kes di Melaka Tengah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri
yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali di sebuah hotel di Bandar Hilir di sini
hari ini.

Mengulas lanjut Rais berkata, sesi persekolahan secara bersemuka masih berjalan seperti biasa termasuk
aktiviti di luar bilik darjah iaitu aktiviti kokurikulum dan sukan turut dibenarkan.

Beliau berharap ibu bapa tidak panik dan Jabatan Pendidikan Negeri juga telah memaklumkan kepada pihak
sekolah sekiranya ternampak gejala itu.

Sehubungan itu, perhatian penting perlu diberikan oleh pihak sekolah agar penyakit tersebut tidak merebak
kepada murid lain.

“Saya pesan ibu bapa kalau terdapat anak yang mempunyai gejala HFMD diminta jangan hantar anak mereka
ke sekolah,” katanya.

Jelasnya, setakat ini sekolah rendah di Jasin belum mencatatkan sebarang kes jangkitan HFMD.

 

 

(Visited 150 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button