Nasional

Bayi 19 bulan cuba dilarikan dua lelaki di Klang

SEORANG bayi perempuan berusia 19 bulan nyaris menjadi mangsa culik apabila cuba dilarikan oleh dua lelaki warga asing dalam kejadian di sebuah pasar raya Klang, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao dalam satu kenyataan berkata dalam kejadian pada pukul 7.30 malam itu, wanita berkenaan memaklumkan dia sedang menaiki tangga bergerak di pasar raya itu bersama anaknya dan adik perempuan.

“Wanita berkenaan yang sedang memimpin tangan bayinya tiba-tiba didatangi dua lelaki warga negara asing dari arah belakang yang mana salah seorang lelaki itu bertindak mengangkat anaknya.

“Wanita berkenaan terus menjerit dan menarik semula anaknya manakala dua lelaki berkenaan cuba melarikan diri bagaimanapun berjaya ditangkap orang awam yang berada di pasar raya itu.

“Dua lelaki berkenaan kemudian diserahkan kepada pihak polis dan kini direman tiga hari bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan itu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Polis juga menyeru orang awam supaya sentiasa berwaspada terhadap kawasan sekeliling bagi mengelak kejadian seperti ini berulang,” katanya.

Terdahulu, satu rakaman video tular di Facebook yang memaparkan dua lelaki warga asing yang memakai baju tanpa lengan dan seluar pendek ditahan berdekatan tangga bergerak sebuah pasar raya di Klang. – SM

(Visited 120 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button