SEPERTI yang telah dijangka kerajaan “Perlis Baharu” melakukan rombakan pada barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) negeri Perlis yang telah diumumkan hari ini.
Sekalipun desas-desus mengenai siapa yang akan gugur dan bakal dilantik telah bertiup kencang namun Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli sebelumnya yang pernah ditanya tetap enggan mengulas sebaliknya menyerahkan jawapannya pada hari pelantikan nanti.
Khabar angin yang mengatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong, Fakhrul Anwar Ismail digugurkan telah menjadi kenyataan.
Dua nama yang disebut-sebut iaitu ADUN Kayang, Asrul Aimran Abd Jalil (Pas) dan ADUN Tambun Tulang, Wan Zikri Afthar (Bersatu) akhirnya muncul sebagai muka baharu dalam lantikan ini.
Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kerajaan Negeri Perlis yang berlangsung di Bilik Hijau, Istana Arau, Arau, Perlis pada pukul 11 pagi ini telah menamatkan semua teka teki selama ini.
Tujuh ADUN telah mengangkat sumpah jawatan Exco di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Hadir sama Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
Ia dimulakan dengan Muhammad Azmir Azizan (Pas), Izizam Ibrahim (Bersatu), Megat Hashirat Hassan (Bersatu), Wan Badariah Wan Saad (Pas), Razali Saad (Pas), Asrul Aimran Abd Jalil (Pas) dan Wan Zikri Afthar (Bersatu).
Sementara itu, Mohd Shukri pada sidang media berkata, sebelum ini pelantikan Exco pada 25 November tahun lalu hanya melibatkan enam orang.
“Kita tambah seorang lagi Exco dan menjadikan kesemuanya tujuh supaya bebanan porfolio dapat dikurangkan berbandiing sebelumnya,” katanya.
Katanya, dengan gandingan lama dan baharu ini diharap akan boleh memantapkan lagi pentadbiran di negeri ini.
Sementara itu, Fakrul Anwar mengakui sekalipun tidak tersenarai kali ini tetapi menganggap ia sebagai amalan biasa kerana Menteri Besar akan membuat keputusan terbaik demi masa depan kerajaannya.
“Sebetulnya saya tiada sebarang masalah malah sangat berterima kasih kepada Menteri Besar kerana memberi peluang untuk saya menimba pengalaman selama setahun sebagai Exco,” katanya.
Beliau akui tidak kesal sebaliknya sangat gembira dan bersyukur kerana jawatan sebagai Exco itu adalah satu amanah.
“Tidak pikul lagi jawatan ini bermakna ia satu keringanan kepada saya dan akan dipergunakan tempoh masa yang ada ini untuk berkhidmat sepenuhnya kepada pengundi di kawasan saya,” katanya. – SM