Nasionalpilihan

Bantulah anak saya

Sepasang suami isteri berdepan dugaan menjaga anak berusia tiga tahun Armel Aufa yang menghidap Sindrom DiGeorge sejak dilahirkan.

Bagi bapa kanak-kanak itu, Abu Bakar Othman, 39, dan isterinya, Jamilah Aziz, 36, akur dengan takdir apabila anak ketiga daripada tiga beradik itu sering kali keluar masuk Hospital Melaka.

Menurut Jamilah, dia dan suaminya tidak pernah putus asa menjaga anaknya yang sejak dilahirkan menghidap jantung berlubang, sistem imun, masalah pernafasan, buah pinggang, wajah yang berubah dan sumbing akibat Sindrom DiGeorge.

Katanya, anaknya itu kini berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan telah ditidurkan sejak dimasukkan ke Hospital Melaka akibat dijangkiti virus metapneumonia A dan B, 6 Januari lalu.

“Keadaannya sangat kritikal namun kami tetap berharap Armel dapat pulih sepenuhnya dan kami tidak tahu berapa lama dia akan berada di Hospital Melaka.

“Kami sebenarnya cukup tabah dan tidak pernah putus asa mengharapkan anak saya dapat pulih dan hidup seperti kanak-kanak seusia dengannya.

“Sejak dilahirkan memang rumah pertamanya adalah Hospital Melaka dan paling lama dia mendapat rawatan di sini selama 321 hari sejak dilahirkan pada 2020.

“Ketika ini ia benar-benar menguji kami namun kami tidak pernah putus asa dan sering berdoa semoga cepat sembuh,” ujarnya ketika ditemui Utusan Malaysia di Taman Tuah Perdana, Bukit Katil di sini semalam.

Menurut Jamilah, selepas 321 hari dirawat Armel pulih namun perlu penjagaan rapi di rumah dengan bekalan pelbagai jenis ubatan, mesin oksigen dan sebagainya.

Keadaan itu katanya memaksa dia berhenti kerja di sebuah syarikat swasta demi untuk menjaga anaknya itu.

Katanya, mereka berdepan masalah kewangan kerana pendapatan suaminya tidak mencukupi walaupun bekerja sebagai penghantar notis di sebuah syarikat kerajaan.

“Setiap bulan kami perlukan RM2,000 untuk membeli ubat, tiub sedut kahak pakai buang, lampin pakai buang dan susu. Rumah dan kereta perlu dibayar begitu juga perbelanjaan dua anaknya berusia 11 dan 7 tahun yang bersekolah,” ujarnya.

Katanya, dia hanya mendapat sumbangan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan permohonan kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) pula ditolak disebabkan suaminya adalah kakitangan awam.

Justeru katanya, jika ada mana-mana individu atau pihak yang sudi untuk menyumbang bagi meringankan beban mereka.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalur sumbangan ke akaun RHB 10401800405991 (Jamilah Aziz) atau menghubungi di talian 013-7468300. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button