Bank Rakyat sumbang RM245,708 Zakat Perniagaan kepada MAIPs
Bank Kerjasama Rakyat telah menyampaikan sumbangan zakat perniagaan berjumlah RM245,708 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sempena Program Kayuhan MAIPs Peduli yang bermula dan berakhir di perkarangan Masjid Al-Mursyid, Pauh Guring.
Sumbangan zakat dipersembahkan Prof. Dr. Hj. Raduwan Idar, Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs.
Turut hadir Nizam Sani Abdul Rahman, Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, serta Mohd Zamerey Abdul Razak, Ketua Pegawai Syariah Bank Rakyat serta Haji Mohd Nazim Mohd Noor, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs.
Menurut Prof. Dr. Raduwan, sumbangan ini adalah manifestasi komitmen Bank Rakyat dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta memastikan manfaat zakat dapat disalurkan secara menyeluruh kepada asnaf yang memerlukan.
Selain itu, Mohd Nazim berkata program ini adalah cerminan gabungan usaha Bank Rakyat dan MAIPs dalam memperkukuhkan agenda pembangunan sosioekonomi serta membantu golongan asnaf di negeri Perlis.
“Sumbangan zakat Bank Rakyat ini akan disalurkan kepada golongan asnaf melalui pelbagai inisiatif termasuk bantuan kewangan, pendidikan, perubatan, dan pembangunan komuniti”, jelas beliau.
Tambah beliau lagi, sumbangan zakat ini menggambarkan kesungguhan Bank Rakyat untuk menyokong inisiatif kemasyarakatan.
“Program Kayuhan MAIPs Peduli ini merupakan inisiatif berterusan yang menggabungkan elemen kemasyarakatan dan kebajikan, di samping mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat. Program ini juga menjadi medium efektif untuk menyampaikan bantuan kepada golongan yang memerlukan,” katanya.
Tuanku Raja Muda berkenan menyantuni dan menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada asnaf Rosila Saad 55 tahun di Kg Alor Setar, Siti Mariah Mahmood 73 tahun di Kg Kubang Paya dan Saadih Osman 66 tahun di Kg Guring Bawah pada edisi kali ini.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menyempurnakan lawatan ke beberapa lokasi sekitar Pauh Guring dan Arau. Baginda berkenan merasmikan Restoran Usahawan Asnaf MAIPs yang diusahakan oleh Mohd Khalis Mat Shah di Warung Pertubuhan Kebajikan Guar Sanji (GS Care). Mohd Khalis sebelum ini menerima bantuan berupa Mesin Doh Roti Canai daripada MAIPs untuk menyokong perniagaan beliau.
Baginda juga melawat Pusat Latihan Renang RNJ Arau, sebuah inisiatif komuniti yang bertujuan meningkatkan penglibatan belia dan masyarakat dalam aktiviti riadah yang sihat.