Ekonomi

Bank Rakyat perkenal program usahawan B40, ‘Rakyatpreneur

BANK RAKYAT memperkenalkan program Rakyatpreneur sebagai inisiatif membangunkan perniagaan mikro khususnya daripada latar belakang yang kurang berkemampuan seperti usahawan asnaf dan berpendapatan rendah (B40).

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Haji Wan Junaidi Bin Tuanku Jaafar, program Rakyatpreneur adalah sejajar dengan usaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk membantu usahawan B40 termasuk perniagaan informal yang terjejas teruk ekoran daripada pandemik Covid-19.

“Usahawan daripada golongan B40 dan informal yang tidak berdaftar adalah antara yang amat terkesan dengan situasi Covid-19 kerana kebanyakannya bergantung kepada pendapatan harian serta tidak mempunyai simpanan wang,” jelas beliau.

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Haji Abd Rani Lebai Jaafar berharap agar inisiatif ini dapat membantu lebih ramai rakyat Malaysia terutamanya golongan asnaf dan B40 dalam meningkatkan taraf hidup dengan memperkembangkan perniagaan mereka.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan pula berkata, program Rakyatpreneur ini dijangka akan memberi impak dalam membuka potensi keusahawanan serta memberi peluang kepada komuniti yang kurang (underserved) dan tidak (unserved) mendapat perhatian untuk merealisasikan impian menjadi usahawan berjaya.


“Program Rakyatpreneur ini juga membuktikan bahawa Bank Rakyat sentiasa berusaha untuk memahami permasalahan serta keresahan pelanggannya khususnya daripada golongan yang kurang berkemampuan.”

“Kami yakin bahawa program ini sangat relevan dalam membantu peserta memperoleh dana perniagaan, bimbingan serta kemahiran baharu untuk menjamin kelangsungan perniagaan sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi negara,” ujar beliau lagi.

Seramai 20 orang peserta telah terpilih untuk menyertai projek rintis Rakyatpreneur fasa pertama yang dilancarkan pada bulan Disember tahun lalu.

Peserta yang terpilih merupakan pengusaha industri kecil dan sederhana yang mempunyai pendapatan bulanan purata antara RM1,000 hingga RM3,000.

Salah seorang peserta yang mengusahakan perniagaan makanan laut, Azlan Osman, 36, berkata, beliau bersyukur dipilih menjadi peserta program ini yang memberikannya peluang untuk mendapat bimbingan kewangan daripada Bank Rakyat untuk memajukan perniagaannya.

Manakala, penjual kuih berumur 30 tahun dari Manjung Perak, Nur Hafisah Shohaimi berkata, beliau dapat membeli barang keperluan membuat kuih seperti mesin pengadun tepung dan peti sejuk beku dengan dana yang diperolehi.

Menurut Bank Rakyat lagi, menerusi projek rintis ini, peserta menerima dana perniagaan secara berperingkat sebanyak RM5,000 setiap seorang termasuk bimbingan khidmat nasihat menerusi latihan modul selama enam bulan.

Ianya bertujuan meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran keusahawanan menerusi program webinar dengan kerjasama daripada Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).

Program Rakyatpreneur akan diteruskan dengan pelbagai modul lain sehingga projek rintis ini berakhir pada Jun 2021.

Pelancaran Rakyatpreneur 2.0 akan dilaksanakan pada Julai tahun ini bagi mencapai sasaran pembangunan hampir 300 usahawan asnaf dan B40 yang akan dipilih dari setiap pelusuk negara.

Melalui latihan modul secara dalam talian ini, peserta dapat mempelajari asas keusahawanan termasuk memperluaskan teknik pemasaran dengan mengaplikasikan teknologi serta pembangunan produk. – SM

(Visited 136 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button