Nasional

Hasrat nak rasa durian Musang King bernilai RM6,000 kecundang

SEORANG pekerja syarikat penerbangan yang cuba menyeludup 16 biji durian Musang King untuk majikannya di Indonesia tidak kesampaian selepas perbuatannya dikesan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) pada kelmarin.

Pemangku Pengarah Maqis Selangor, Zamri Hashim berkata, kesemua durian yang berjumlah RM6,000 itu dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Durian tersebut dirampas selepas lelaki tempatan berusia 30-an itu gagal mengemukakan permit eksport dan sijil fitosanitasi.

“Kesemua buah itu adalah daripada jenis Musang King dan dibawa di dalam empat kotak dengan berat 56 kilogram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zamri,  pemeriksaan lanjut mendapati buah tersebut ingin dihantar kepada majikan lelaki itu di Indonesia.

Dalam pada itu, Zamri turut menegaskan yang perbuatan mengeksport sebarang tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanah atau mikroorganisma tanpa permit, adalah salah mengikut Seksyen 11(2) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

“Langkah ini bagi menjamin keselamatan pertanian dan makanan negara.

“Ia juga untuk memastikan makanan yang keluar dari Malaysia mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan,” katanya. -SM

(Visited 240 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button