Bank Rakyat diiktiraf jenama paling pesat berkembang di Malaysia
BANK RAKYAT menerima pengiktirafan sebagai jenama paling pesat berkembang di Malaysia, menurut laporan terbaharu perunding penilaian jenama terkemuka, Brand Finance.
Berdasarkan laporan Brand Finance Malaysia 100 2023, Bank Rakyat mendahului jenama perbankan yang lain dengan mencatatkan peningkatan dua digit dalam nilai jenama sebanyak 49% kepada $382.73 juta.
Pengarah Urusan Brand Finance bagi Asia Pasifik, Alex Haigh berkata dalam laporannya, Bank Rakyat yang merupakan jenama yang paling pesat berkembang di Malaysia dalam penilaiannya melonjak 10 anak tangga ke kedudukan ke-25 berbanding tahun lalu menjadikannya jenama perbankan dengan penarafan ‘AA’.
“Bank Rakyat menyaksikan pendapatan operasi terasnya meningkat sebanyak 3.42% kepada RM5.90 bilion di akhir 2022 daripada RM5.71 bilion pada tahun sebelumnya didorong oleh pertumbuhan pembiayaan dalam kedua-dua segmen runcit dan perniagaan yang turut menyumbang kepada peningkatan dalam nilai jenamanya.
“Jumlah aset kumpulan meningkat sebanyak 1.98% atau RM2.27 bilion kepada RM117.33 bilion berbanding RM115.06 bilion pada tahun sebelumnya. Pertumbuhan berterusan ini didorong terutamanya oleh peningkatan positif pembiayaan kasar dan pertumbuhan bersih aset perbendaharaan selari dengan strategi kumpulan sepanjang tahun,” ujar Haigh dalam laporannya.
Bank Rakyat dalam satu kenyataan berkata, pencapaian yang memberangsangkan ini adalah hasil pendekatan dan inisiatif pengukuhan jenama Bank melalui pelaksanaan perancangan pelan strategik lima tahun Bank Rakyat 2025 (BR25).
Enam rangka tindakan yang menjadi fokus BR25 termasuk digitalisasi, pengalaman pelanggan terbaik, kelestarian, modal insan, perniagaan SMEC (mikro, perusahaan kecil dan sederhana dan koperasi) serta kepimpinan Syariah.
Dengan keupayaan sistem perbankan teras baharu, Bank Rakyat meneruskan inisiatif transformasi digitalnya dengan memfokuskan usaha pemerkasaan masyarakat serta perniagaan merangkumi pelancaran aplikasi perbankan mudah alih iRakyat, platform perbankan maya Quick Response to Entrepreneur (QR2E) bagi usahawan PMKS dan koperasi, “BRICK” atau ‘Bank Rakyat Quick’ sebagai saluran alternatif kepada pelanggan untuk mengakses produk perbankan runcitnya, di samping pengenalan kemudahan e-Janji Temu bagi perkhidmatan Ar-Rahnu dan cawangan.
Semasa Majlis Perasmian Minggu Teknologi Bank Rakyat 2023 baru-baru ini, Bank berkenaan turut mengumumkan pelancaran beberapa inisiatif digital baharunya termasuk QR Pay yang membolehkan pelanggan membuat pembayaran tanpa tunai dengan mudah dan pantas menerusi aplikasi perbankan mudah alih.
Bank Rakyat adalah jenama perbankan tempatan yang dikenali selama hampir tujuh dekad. Justeru, sebagai tanda keprihatinan dan ihsannya terhadap kesejahteraan masyarakat dan alam sekitar, Bank Rakyat giat merangka dan menjalankan pelbagai inisiatif jangkauan komuniti termasuk aktiviti kesukarelawanan berlandaskan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 di seluruh negara dengan melibatkan kerjasama daripada pelbagai agensi dalam ekosistem Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) termasuk swasta yang mana dilihat sejajar dengan nilai Malaysia Madani.
Di samping itu, Bank Rakyat turut komited dalam membantu memacu peralihan negara kepada ekonomi tenaga bersih ke arah merealisasikan tonggak dasar kemampanan yang digariskan dalam nilai Malaysia Madani.
Seiring dengan aspirasi rangka tindakan kelestarian, Bank Rakyat turut bekerjasama dengan pembekal panel solar dalam memperluaskan tawaran kemudahan produk Pembiayaan Peribadi-i bagi pembelian dan pemasangan sistem panel solar, di samping menawarkan Pembiayaan Kenderaan-i bagi pembelian kenderaan elektrik.
Diasaskan pada 1996 di London, United Kingdom, Brand Finance merupakan firma perundingan penilaian dan strategi jenama bebas terkemuka dunia dengan tujuan bagi merapatkan jurang antara sektor pemasaran dan kewangan menerusi penilaian lebih 3,500 jenama setiap tahun. – SM