Ekonomi

Bank Rakyat dan SPNB jalin kerjasama bantu B40 miliki kediaman sendiri

BAGI membantu golongan berpendapatan rendah, Bank Rakyat bersama Syarikat perumahan Negara Berhad (SPNB) jalin kerjasama menerusi Program Rumah Mesra Rakyat untuk miliki kediaman sendiri melalui langganan produk Pembiayaan Perumahan-I dan dan Pembiayaan Peribadi-i Bank Rakyat.

Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, Program Rumah Mesra Rakyat ini menyasarkan golongan berpendapatan isi rumah di bawah RM5,000 yang tidak mempunyai rumah atau tinggal di rumah usang tetapi mempunyai tanah untuk membina rumah sendiri yang lebih sempurna dan selesa demi meningkatkan kesejahteraan dan kehidupan mampan masyarakat Madani.

Menerusi program ini, SPNB menawarkan harga pembinaan rumah bermula daripada RM75,000 yang mana pelanggan akan menerima subsidi kerajaan berjumlah RM20,000 dan baki sebanyak RM55,000 lagi boleh diperoleh menerusi pembiayaan Bank Rakyat.

 

“Bank Rakyat sentiasa menitikberatkan usaha yang bertujuan untuk menambah baik pengalaman pelanggan daripada segi inovasi produk dan juga penyampaian perkhidmatan bagi menyediakan penyelesaian kewangan yang terbaik serta bersesuaian dengan situasi semasa dan keperluan dinamik pasaran”, tambah Datuk Mohd Irwan.

 

Menurutnya, bagi Pembiayaan Perumahan-i, Bank Rakyat menawarkan margin pembiayaan sehingga 95% dengan kadar pembiayaan serendah 4.45% setahun untuk tempoh pembiayaan sehingga 35 tahun.

 

 

 

Manakala, bagi Pembiayaan Peribadi-i, Bank Rakyat menawarkan kadar pembiayaan serendah 2.89 peratus setahun dengan tempoh pembiayaan sehingga 10 tahun, di samping tiga kaedah bayaran pembiayaan yang fleksibel iaitu Potongan gaji melalui Biro Angkasa (BPA), Potongan Gaji Majikan (PGM) dan Pindahan gaji ke Bank Rakyat.

 

“Inisiatif ini bukan sahaja mampu membantu meringankan beban kewangan yang dihadapi golongan berpendapatan rendah, malah dapat mengembangkan pilihan kewangan mereka serta memudahkan pemilikan kediaman yang merupakan aspek keselamatan sosial sebagai elemen penting dalam kestabilan ekonomi, kesejahteraan sosial serta keterjaminan kualiti kehidupan”.

“Kerjasama ini dilihat berpotensi mengembangkan penawaran produk dan perkhidmatan serta meluaskan peluang hubungan perniagaan, di samping mempercepatkan inisiatif rangkuman kewangan dan keupayaan untuk menjangkau pelanggan baharu”.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dato’ Dr. Mohammad Hanis Osman berkata, inisiatif ini membuktikan bahawa Bank Rakyat bukan sahaja komited dalam menyediakan penyelesaian kewangan merentasi segmen, bahkan memberi komitmen sepenuhnya kepada mana-mana usaha yang memanfaatkan semua lapisan masyarakat.

Tambah beliau, Bank Rakyat mengalu-alukan masyarakat khususnya golongan berpendapatan rendah untuk memohon Program Rumah Mesra Rakyat ini sebagai peluang merealisasikan impian memiliki kediaman sendiri menjadi kenyataan menerusi kemudahan pembiayaan yang ditawarkan.

Bagi Pihak SPNB, jalinan kerjasama ini akan berterusan selagi ada permintaan dari Bank Rakyat bagi pemohonan Program Rumah Mesra Rakyat (RMR2.0).

‘’Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) telah menerima peruntukan bajet 2024 bagi RMR1.0 sebanyak RM358juta iaitu 3,500 unit RMR. Memandangkan jumlah permohonan semasa bagi RMR1.0 hampir mencecah 200ribu, pada bulan Februari 2024 SPNB memperkenalkan RMR2.0 bagi menampung permintaan yang semakin meningkat.

‘’SPNB menyasarkan sebanyak RM247juta bagi membina 3,100 unit RMR2.0 secara kelulusan segera yang mana pemohon hanya perlu membayar baki RM55,000.00 ‘’secara tunai kepada SPNB. Sehingga kini, sebanyak 1,507 permohonan telah diterima bagi RMR2.0. Oleh itu, melalui kerjasama ini akan memudahkan lagi proses pinjaman (bank) dan pembinaan (SPNB) demi memastikan kumpulan B40 memiliki kediaman yang diidamkan.’’ Jelasnya.

Pelanggan yang berminat untuk memohon Program Rumah Mesra Rakyat ini, boleh layari laman sesawang www.bankrakyat.com.my atau hubungi Pusat Panggilan Bank Rakyat di talian 1-300-80-5454 serta kunjungi mana-mana cawangan Bank Rakyat yang berhampiran untuk maklumat lanjut.

Artikle Berkaitan :>

Khas untuk rakyat Sabah yang terjejas banjir, Bank Rakyat tawar moratorium

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button