BanjirNasional

Banjir: tiga terkorban, tiga lagi belum ditemui

BANJIR di beberapa negeri meragut satu lagi nyawa hari ini manakala tiga lagi dikhuatiri lemas di kala jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negara terus meningkat kecuali di Johor dan Kelantan.

Ikmal Hakimi Mahasan, 20, pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang dilaporkan hilang semalam ditemukan lemas di Kampung Bentong, di sini, tengah hari tadi.

Beliau menjadi mangsa korban ketiga selepas Halijah Majid, 59, yang ditemukan lemas Sabtu lepas selepas terjatuh ke dalam sebuah longkang dipenuhi air sedalam dua meter di Kampung Contoh dekat Kluang, Johor dan seorang kanak-kanak lelaki, Muhamad Amsyar Mohd Zamri, 5, semalam selepas terjatuh ke dalam Sungai Jerong Bikam, Sungkai, Perak.

Seorang wanita Rozi Omar, 52, dan anaknya Zakirah Ahmad Husin, 19, pula dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki mereka karam di Sungai Jelai, Kampung Bertang di Lipis, Pahang ketika dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka bersama suami dan seorang lagi anaknya yang berjaya menyelamatkan diri ketika kejadian.

Sehingga kini, selain mereka anak beranak, seorang lagi mangsa, Md Rajihan Junaidi, 28, yang hilang dihanyutkan arus bersama kereta Proton Waja dipandunya dalam kejadian di Batu 18, Jalan Batu Pahat-Mersing, Kahang dekat Kluang, Johor, Sabtu lepas masih lagi tidak ditemui.


Sebanyak lima negeri yang menghadapi keadaan banjir akibat hujan lebat ketika ini iaitu Johor, Terengganu, Perak, Kelantan dan Selangor di mana hanya Johor setakat petang ini mencatatkan penurunan jumlah mangsa di PPS, manakala Kelantan, jumlah mangsanya kekal.

Di Johor pula walaupun jumlah mangsa di PPS menurun, keadaan di pusat bandar Kota Tinggi masih membimbangkan selepas dinaiki air setinggi dua meter dan masih terdapat mangsa terperangkap.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora banjir di kawasan bandar itu yang juga disebabkan air pasang besar di sungai Kota Tinggi, Sabtu lepas dijangka kekal sehingga Rabu.

Jabatan Meteorologi Malaysia semalam meramalkan cuaca buruk dengan hujan lebat dijangka berterusan di Terengganu, Pahang dan Johor sehingga hari ini.

Di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) pula, selepas jalan di KM198 antara Gambang dan Sri Jaya di Kuantan dibuka semula selepas air surut, kawasan lain iaitu di KM84.6-KM84.7 pula hari ini ditutup akibat dinaiki air sedalam satu meter.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan atau berkongsi gambar mahupun video lama kejadian banjir besar pada 2014 yang dilihat boleh menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat. – BERNAMA

(Visited 207 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button