Politik

Sokongan terhadap Muhyiddin mesti diuji

SOKONGAN oleh Ahli Parlimen kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa mesti diuji bagi memastikan kerajaan benar-benar stabil.

Ini kerana, pelantikan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah belum membuktikan Muhyiddin mempunyai sokongan.

Sekiranya tidak diuji, keyakinan terhadap kedudukan kerajaan dan kestabilan politik memberi impak besar kepada ekonomi negara.

Situasi sedemikian timbul kerana tidak ada satu pun parti yang mempunyai sokongan paling kukuh untuk membentuk kerajaan apatah lagi Muhyiddin datang dari kumpulan kecil dalam Parlimen iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Benar, Yang di-Pertuan Agong telah melantik seorang daripada wakil rakyat yang pada hemat baginda orang yang mempunyai sokongan majoriti dalam Parlimen.


“Tetapi, itu bersandar kepada maklumat yang baginda pada hematnya percaya orang ini mempunyai sokongan majoriti, memang tepat dan betul dalam baginda bertindak sedemikian rupa mengikut kuasa yang dibekal dalam perlembagaan.

“Tetapi, akhirnya Ahli-Ahli Parlimen mesti menentukan sama ada orang yang dilantik baginda benar-benar mempunyai majoriti.

“Dalam keadaan sekarang pun, kita serba salah oleh sebab Parlimen kita adalah Parlimen yang tergantung.

“Tak ada satu parti pun dalam Parlimen yang mempunyai jumlah majoriti walaupun majoriti mudah untuk membentuk sebuah kerajaan.

“Apatah lagi dalam keadaan sekarang ini, orang yang memegang jawatan itu datang daripada parti yang kecil.”

Demikian kata Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tan Sri Tengku Razaleigh Tengku Mohd. Hamzah dalam satu tembual khas bersama Suara Merdeka.

Hal mengenai kedudukan kerajaan sebelum ini acap kali disebut oleh Ahli Parlimen Gua Musang itu termasuklah membawa usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat.

Beliau menambah, kekuatan yang dibina Bersatu saban hari adalah kerana mencuri wakil rakyat UMNO yang dipilih ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Walau bagaimanapun, beliau menafi menimbulkan syak terhadap pelantikan yang dibuat oleh Agong, namun sekali lagi menegaskan sokongan kepada Muhyiddin mestin diuji.

Ini kerana, sokongan yang dibuktikan adalah mesej jelas kepada pelabur-pelabur luar untuk berasa yakin bagi menanam modal di negara ini.

“Jadi, kita hendak tahu benar ke majoriti wakil rakyat menyokong yang dilantik oleh baginda, kita tidak syak mengenai pilihan Agong.

“Tetapi, dalam Dewan Rakyat mesti ditentukan kerana kita hendak hantar mesej ataupun perutusan bukan sahaja kepada rakyat negara ini, tetapi kepada luar, pelabur-pelabur.

“Itu sebab adanya usul undi tidak percaya, usul beri kepercayaan kepada pimpinan dan sebagainya selaku Perdana Menteri.

“Ini semuanya hendak menguatkan kedudukan kerajaan kita, tidak terumbang-ambing, tidak jadi bualan di kedai kopi dan tidak jadi perkara yang ditertawakan orang.

“Selamat ke tak selamat, mereka yang melabur duit dalam negara kita?” soalnya.

Walau bagaimanapun, Ku Li sekali lagi menjelaskan, beliau tiada masalah jika Muhyiddin terus menjadi Perdana Menteri sekiranya majoriti Ahli Dewan Rakyat menyokongnya.

Ini kerana, perkara itu haruslah menepati Perlembagaan Persekutuan.

“Kalaulah pemimpin kita yang diangkat sebagai Perdana Menteri yang mempunyai sokongan yang kuat, silalah kita akan sokong sama-sama kerana kita hendak pulih keadaan kita ini,” katanya. – SM

(Visited 196 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button