Bahulu panas sabut kelapa Sitam Rembau jadi sebutan
ZAMAN telah pun berubah. Kini segala peralatan memasak sudah pun moden. Ketuhar elektrik memudahkan kerja membakar kuih dan kek termasuk bahulu.
Masukkan adunan dalam ketuhar elektrik tetapkan masa dan bila bahulu masak peralatan akan berhenti.
Namun apa yang tidak dapat diganti oleh peralatan dapur moden adalah rasa asap dan salai pada bahulu tersebut yang menghasilkan aroma wangi.
Malah peralatan moden juga tidak mampu menggantikan keenakan rasa bahulu yang dimasak menggunakan acuan tembaga dan dibakar menggunakan api dari kayu getah dan bara sabut kelapa.
Itulah yang dilakukan oleh Hamsyidar Yunus, 39 dan suaminya, Rizal Mohamed, 46 serta adik mereka, Hamsyinar Yunus, 34 di Kampung Batang Nyamor, Rembau, Negeri Sembilan.
Mereka mengusahakan bahulu sabut warisan Sitam sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.
Bahulu menjadi tular
Hamsyidar memberitahu bahulu bakar Sitam menjadi popular apabila mendapat perkongsian di media sosial. Ramai yang datang ke rumah mereka semata-mata mahu memakan bahulu yang dihidangkan panas-panas.
“Ada orang tua yang datang makan bahulu panas menepuk-nepuk dada sambil menangis. Ya Allah ini macam wan saya masak dulu kata nenek tu. Mungkin sebab itu rezeki kami murah.
“Dah tak jumpa bahulu macam ini lagi kat mana-mana. Masa tu baru lagi PKP. Masa tu dia tengok di Facebook sahaja. Nenek tersebut dari Kuala Pilah sanggup menelefon anaknya untuk membawa beliau makan bahulu panas di Rembau,” cerita Hamsyidar.
Resepi arwah nenek
Menurut adiknya, Hamsyinar bahulu sabut Sitam sempena nama arwah nenek mereka. Sukatan tepung, telur serta adunan lain semuanya diwarisi daripada arwah nenek.
“Arwah wan dulu menang ambil tempahan buat bahulu ketika raya. Orang kampung sahaja yang tempah.
“Adunan hanya telur, tepung, gula dan sedikit asen vanila. Tidak menggunakan bahan-bahan lain. Cara bakar iaitu dengan meletakkan bara sabut di atas acuan tembaga dan kayu api di bawah acuan pun kita kekalkan,” kata Hamsyinar.
Jelas Hamsyinar, api perlu dijaga agar tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil bagi menghasilkan bahulu yang dibakar sempurna.
Beli kayu api dan sabut kelapa
Tambah Hamsyinar, bahulu yang dibakar menggunakan sabut dan kayu getah bertekstur ranggup sebaik sahaja masak kemudian akan menjadi lembab dan padat. Selepas dibungkus ia akan menjadi garing semula.
Menurutnya, jika hari biasa mereka akan membancuh tiga adunan yang menghasilkan lebih kurang 600 biji bahulu. Namun permintaan meningkat pada hari Sabtu dan Ahad sehingga 3,000 biji bahulu.
Jika dahulu mereka sendiri mencari kayu getah dan meminta sabut daripada orang kampung untuk membakar bahulu. Namun disebabkan permintaan yang semakin meningkat mereka kini terpaksa membeli bahan bakar tersebut.
“Sekarang permintaan dah banyak terpaksa beli kayu dan sabut. Satu guni sabut berharga RM3 dan satu van kayu api RM60. Satu minggu kita kena guna dua van kayu api,” terang Rizal.
Menurut Rizal disebabkan bahulu berkenaan telah tular Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan telah membuat pemeriksaan mengejut dan memberikan hampir 90 peratus markah terhadap aspek kebersihan.
Malah bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan turut berkunjung untuk merasai sendiri bahulu panas.
Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau itu turut berkongsi pengalamannya membakar dan memakan bahulu panas Sitam.
“Tahniah Puan Syinar dan suami, anak Pak Yunus yang berjaya mengusahakan industri kampung buat “kueh bahulu” yang dimasak menggunakan dapur sabut kelapa . Kuehnya sedap. Sesiapa yang minat boleh order,” kata Mohamad di Facebooknya.-SM