
Sempena hari Wilayah Fahmi Fadzil dianugerahkan Datuk
Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, kini bergelar Datuk selepas dianugerahkan Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W).
Perkara itu dikongsikan oleh Jabatan Penerangan Malaysia menerusi satu hantaran di Facebook rasmi jabatan berkenaan hari ini.
“Setinggi-tinggi tahniah daripada seluruh warga Jabatan Penerangan Malaysia diucapkan kepada Menteri Komunikasi, Yang Berhormat Datuk Fahmi Fadzil.
“Pengurniaan Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W) yang membawa gelaran Datuk ini telah dianugerahkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, pada 7 Mac 2025,” kata Jabatan Penerangan dalam kenyataan itu.
Sementara itu, tinjauan di ruangan komen media sosial rasmi jabatan tersebut mendapati rata-rata warganet menzahirkan ucapan tahniah kepada Fahmi atas pengurniaan darjah kebesaran berkenaan.
Fahmi, yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia daripada Purdue University, Indiana, Amerika Syarikat.
Beliau memulakan karier politiknya sebagai Setiausaha Politik kepada Nurul Izzah Anwar ketika beliau memegang jawatan Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Naib Presiden PKR dari tahun 2010 hingga 2013.