Mahkamah

Azeez Rahim ceraikan isteri kedua talak satu

SUBANG 17 Mac – Bekas Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, melafazkan cerai terhadap isteri keduanya, Marina Mohamed dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, di sini, pada Isnin.

Untuk rekod, Marina, 50, merupakan peguam yang mewakili Abdul Azeez dalam kes saman kerajaan bagi melucut hak hampir RM16 juta, termasuk satu lot kedai di Bandar Sunway, daripada keluarga bekas Pengerusi Tabung Haji (TH) pada 2021 lalu.

Bagaimanapun permohonan itu ditarik balik oleh kerajaan, tiga tahun lalu.

Sejurus prosiding selesai, Abdul Azeez meluru keluar dengan ditemani peguamnya, sementara Marina kelihatan mengalirkan air mata.

Semasa prosiding, Hakim Syarie, Abdul Malik Soleh, merekodkan perceraian Abdul Azeez, 59, dengan kebenaran mahkamah pada jam 10.45 pagi selepas perbincangan berlangsung selama hampir satu jam.

Hakim Syarie kemudiannya membenarkan permohonan cerai yang difailkan Abdul Azeez selaku plaintif pada 9 Disember 2024, mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Beliau mensabitkan perceraian itu dan memerintahkan Marina menjalani tempoh idah selama tiga kali suci serta mendaftarkan perpisahan berkenaan.

Selepas prosiding, peguam syarie, Datuk Mohd Zaidi Md Zain yang mewakili ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, mahkamah merekodkan perpisahan mereka berdasarkan keputusan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Pejabat Agama Islam, baru-baru ini.

Mengikut laporan itu, beliau berkata pasangan terbabit menghadapi shiqaq rumah tangga, iaitu perbalahan berpanjangan yang tidak dapat didamaikan.

“Ditekankan bahawa defendan merupakan isteri keduanya dan lafaz dibuat secara baik dengan talak satu hari ini,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah.

Sementara itu, Marina selaku defendan, yang diwakili peguam syarie, Azmi Mohd Rais berkata, mahkamah menetapkan Isnin untuk prosiding tuntutan cerai dengan kebenaran mahkamah antara kedua-dua pihak berkenaan.

Menurutnya, perintah ‘shiqaq’ telah dikeluarkan dan mahkamah menasihati plaintif untuk melafazkan cerai.

“Alasannya, tiada ‘mawaddah warahmah’ untuk meneruskan perkahwinan serta tiada persefahaman dan perasaan kasih sayang dalam rumah tangga itu.

“Pada dasarnya, anak guam saya tidak bersetuju, namun selepas perjumpaan JKP, didapati tiada perdamaian, jadi kuasa untuk menceraikan berada di tangan suami,” katanya.

Beliau berkata, pasangan itu mendirikan rumah tangga di Bachok, Kelantan pada 11 September 2019 dan tidak dikurniakan cahaya mata.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button