Ayam Najib, reban Mahathir
AYAM dan reban menjadi topik yang disentuh dalam serangan terbaharu antara dua bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ahli Parlimen Langkawi memulakan serangan terhadap Najib dengan mengungkit pelepasan Riza Aziz anak tiri Ahli Parlimen Pekan daripada tuduhan di mahkamah sebagai salah.
Dr. Mahathir menegaskan bahawa ia adalah perjanjian manis (sweetheart deal) dengan mendakwa Riza ‘mencuri’ AS$ 248 juta dari wang 1MDB dan memulangkan kembali hanya AS $107.3 juta dan menyimpan baki AS$ 140 juta untuk dinikmati.
“Faktanya ialah anda telah mencuri dari 1MDB sebanyak AS $248 juta dan keseluruhan nilainya mestilah dikembalikan. Apa yang anda bayar kepada orang lain adalah tidak relevan.
“Ia seperti mencuri 10 ekor ayam. Anda harus mengembalikan kesemua 10 ekor. Sekiranya anda telah makan 9 ekor ayam atau anda menjualnya kepada seseorang, itu bukan masalah kami. 10 ekor ayam itu mesti dikembalikan kepada pemiliknya.
“Memulangkan hanya 1 ayam akan tetap membawa maksud bahawa pemilik ayam telah kehilangan 9 ekor ayam yang dicuri oleh pencuri itu,” kata Dr. Mahathir dalam satu artikel di blognya.
Dr. Mahathir dalam artikel yang sama menolak dakwaan mengatakan anak-anaknya telah diberi kontrak Kerajaan.
“Saya bahkan tidak membenarkan anak-anak saya berniaga di Malaysia, apalagi mendapat kontrak Kerajaan. Mereka bahkan tidak diberi biasiswa Kerajaan kecuali Mirzan yang mendapatkannya sebelum saya menjadi anggota Parlimen pada tahun 1964. Dan Mirzan terpaksa membayar balik 25%.
“Hanya setelah saya mengundurkan diri, mereka berniaga di Malaysia – walaupun ketika itu tidak dengan Kerajaan. Tentunya tiada kontrak Kerajaan. Tolong beri bukti dokumen mengenai kontrak yang diberi kepada anak-anak saya, sama seperti bukti dokumen yang membuktikan bahawa anda sebagai MO1 yang telah mengambil wang dari 1MDB,” kata Dr. Mahathir.
Najib tidak berdiam diri dan membalas tuduhan yang dilemparkan oleh Dr. Mahathir melalui Facebooknya.
“Seperti yang telah dijelaskan oleh peguam kami, AS$248 juta adalah jumlah keseluruhan yang diterima dari pelbagai pelabur untuk projek filem Riza. Yang mana AS$107 juta telah diselesaikan di sini di Malaysia (perjanjian penyelesaian)
“AS$60 juta diselesaikan dengan DOJ tahun lalu yang kemudiannya wang ini telah dihantar oleh DOJ kembali ke Malaysia. (anda buat-buat lupa tentang ini?)
“AS$120 juta telah dibayar balik kepada pelabur, bersekali dengan faedah dan dividen bagi projek filem ini. Bayaran balik yang dibuat lama dulu ini juga disebut dalam rakaman panggilan telefon antara saya dan Putera Mahkota Abu Dhabi yang telah didedahkan oleh KP SPRM lantikan politik anda kepada orang ramai awal tahun ini,” jelas Najib.
Najib turut membalas kenyataan Dr. Mahathir, kononnya anak-anak Ahli Parlimen Langkawi itu tidak pernah terlibat dalam perniagaan sepanjang menjadi perdana menteri.
“Adakah Mirzan anak anda ketika dia membina Konsortium Perkapalan pada tahun 1990-an yang akhirnya memerlukan bailout dari Petronas melalui MISC semasa krisis ekonomi 1998? MISC Membayar $220 Juta Harga Untuk Aset Anak Mahathir
“Bukankah MISC dan Petronas melapor kepada anda sebagai PM pada waktu itu? Bukankah Mirzan anak lelaki anda pada tahun 1996 dan siapa PM ketika adik Vincent Tan, Danny Tan menjual Diperdana Corp kepada Mirzan hanya setelah dua tahun Danny membeli syarikat itu?
“Bukankah Mohzani anak anda pada tahun 1997 yang mana anda menjadi PM pada tahun itu ketika dia menjadi pemegang saham terbesar di Hospital Pantai setelah membelinya dari kumpulan Berjaya yang dikendalikan oleh Vincent Tan?
“Bukankah anda juga PM ketika kumpulan Kencana milik Mokhzani yang ditubuhkan setahun sebelumnya dianugerahkan lesen fabrikasi (Offshore Structures) utama oleh PETRONAS pada tahun 2002. Kencana Petroleum adalah salah satu daripada hanya tujuh pemegang lesen di Malaysia yang diberikan lesen pada masa itu.
“Adakah anda juga PM pada tahun 2003 di mana anak lelaki anda Mukhriz memiliki Opcom dan syarikat itu dianugerahkan kontrak langsung tanpa tender bernilai RM214 juta oleh Telekom Malaysia atas arahan Kementerian Kewangan? (lihat surat yang dilampirkan).
“Jadi, jangan datang dan cuba bercakap tentang mencuri atau memulangkan ayam. Di bawah anda, seluruh reban ayam telah diserahkan kepada kroni anda untuk disembelih,” kata Najib.-SM