Luar Negara

Australia senaraikan koala sebagai terancam di dua negeri timur

AUSTRALIA pada hari ini telah menyenaraikan Koala di sebahagian besar pantai timurnya sebagai terancam selepas habitatnya dilanda kemarau berpanjangan, kebakaran belukar dan penebangan hutan.

Para saintis dan ahli akademik telah memberi amaran bahawa mamalia ikonik Australia itu boleh pupus melainkan kerajaan segera campur tangan untuk melindungi mereka dan habitat mereka.

“Penyenaraian baharu itu menyerlahkan cabaran yang dihadapi oleh spesis itu.

“Bersama-sama kita boleh memastikan masa depan yang sihat untuk koala dan keputusan ini akan memainkan peranan penting dalam proses itu,” kata Menteri Alam Sekitar, Sussan Ley dalam satu kenyataan.

Ley berkata, koala di negeri-negeri New South Wales, Queensland dan wilayah Ibu Kota Australia akan disenaraikan sebagai terancam berbanding kedudukan mereka yang terdedah sebelum ini.

Yayasan Koala Australia berkata pada tahun lalu, Australia telah kehilangan kira-kira 30 peratus daripada koalanya sejak tiga tahun lalu, dengan jumlah dianggarkan menurun kepada kurang daripada 58,000 daripada lebih 80,000 pada 2018 dengan penurunan paling teruk di New South Wales, di mana bilangannya telah menurun sebanyak 41 peratus.

Kajian World Wide Fund for Nature menganggarkan kebakaran belukar pada akhir 2019 dan awal 2020 telah membunuh atau mencederakan lebih 60,000 koala, apabila api membakar lebih daripada 17 juta hektar (65, 630 batu persegi), satu kawasan hampir separuh saiz Jerman.

Tetapi sebelum kebakaran, habitat koala telah mengalami kemerosotan pesat akibat pembukaan tanah untuk pertanian, pembangunan bandar, perlombongan dan perhutanan. Koala kebanyakannya tinggal di hutan ‘eucalypt’ di negeri timur dan pinggir pantai.

Kumpulan alam sekitar menyambut baik keputusan itu walaupun mereka mengatakan ia sepatutnya berlaku lebih awal.

“Kita tidak sepatutnya membiarkan perkara itu sampai ke tahap di mana kita berisiko kehilangan ikon negara.

“Jika kita tidak dapat melindungi spesis ikonik endemik di Australia, apakah peluang yang dimiliki oleh spesis yang kurang dikenali tetapi tidak kurang pentingnya?” kata Pengurus Dana Antarabangsa untuk Kebajikan Haiwan, Josey Sharrad.- SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button