‘Aur dengan Tebing’, simbol dedikasi 70 tahun Bank Rakyat
SEMPENA meraikan ulang tahun ke-70, Bank Rakyat mempersembahkan sebuah naskhah istimewa berjudul ‘Aur dengan Tebing’. Filem pendek berdurasi sembilan minit ini mengangkat tema ‘7 Dekad dan Selamanya’ yang melambangkan dedikasi Bank Rakyat dalam menyokong rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang sepanjang perjalanan hidup mereka.
‘Aur dengan Tebing’ mengetengahkan tema persahabatan, menyoroti kisah tiga sahabat – Adam, Raj, dan Ah Chong – yang melalui pelbagai cabaran hidup untuk mengejar impian serta kebahagiaan. Filem ini menampilkan pelakon-pelakon popular seperti Beto Kusyairy sebagai Adam, Khir Rahman sebagai Cikgu Razali, dan Aghonderan Sahadevan sebagai Raj. Versi kanak-kanak watak utama ini dilakonkan oleh MN Firas (Adam), S. Yasshan (Raj), dan seorang pelakon berbakat sebagai Ah Chong.
Berlatarbelakangkan sebuah kampung yang damai, cerita ini membawa penonton merentasi dua garis masa, iaitu zaman kanak-kanak dan dewasa, penuh dengan nilai nostalgia. Hubungan erat yang terjalin di antara ketiga-tiga sahabat sejak kecil mencerminkan perpaduan yang kukuh di sebalik kepelbagaian bangsa dan budaya. Walaupun cabaran kehidupan memisahkan mereka, kisah ini menyentuh hati dengan pengajaran tentang nilai persahabatan, kekuatan, dan harapan.
Menurut Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak, filem ini adalah simbolik kepada perjalanan panjang Bank Rakyat yang telah menjadi tulang belakang kepada pelanggan selama tujuh dekad.
“Sejak penubuhan 70 tahun lalu, Bank Rakyat telah menyediakan penyelesaian kewangan yang komprehensif untuk membantu individu dan perniagaan merealisasikan impian mereka. Filem ini menggambarkan bagaimana kami terus berdiri teguh bersama pelanggan dalam menghadapi cabaran kehidupan,” kata beliau dalam sesi tayangan perdana filem berkenaan di Aurum Theatre, The Gardens Mall.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff turut hadir pada acara itu.
Tambah Datuk Mohd Irwan, filem ini bukan sekadar hiburan tetapi juga sebuah karya yang memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk menghargai hubungan dan perjalanan hidup mereka bersama Bank Rakyat.
“Melalui kisah ini, kami ingin mengajak penonton mengenang detik-detik bermakna dan hubungan erat bersama Bank Rakyat, menjadikan setiap momen kehidupan lebih bernilai,” ujar beliau.
Filem pendek ‘Aur dengan Tebing’ diterbitkan oleh Tangerine Films Sdn Bhd dan akan ditayangkan di semua saluran media sosial rasmi Bank Rakyat di bawah @myBANKRAKYAT.
Artikle Berkaitan :>