Asri seru gabungan baharu lebih meyakinkan dibentuk
Di sana sini rakyat merasai satu perjalanan pemerintahan yang tersangkut. Banyak isu yang tidak dapat diselesaikan dengan cara yang sewajarnya.
Majoriti rakyat merasai bimbang dengan identiti negara yang seakan cuba dicarik-carikkan.
Keceluparan dan tindakan yang bersifat perkauman menjadi-jadi. Perkembangan ekonomi yang semakin sukar dan merunsingkan.
Keyakinan terhadap halatuju pemerintahan yang makin terhakis.
Dalam masa yang sama, tidaklah rakyat mahu hidup di bawah pemerintahan yang penuh korupsi dan penyalahgunaan kuasa.
Tidak juga mahu negara jatuh ke tangan mereka yang boleh menjadi alat kepada pihak yang anti Islam.
Tidak juga mahu sebuah negara yang radikal pendirian Islam dan kaumnya. Apakah penyelesaian keadaan ini?
Apakah akan dibiarkan keadaan sebegini berlarutan?
Dalam keadaan ini, kita merasakan satu pembentukan kabinet yang terdiri dari gabungan ahli-ahli parlimen yang lebih dapat memelihara identiti dan perlembangaan negara, berintegriti, berwawasan, mengukuhkan ekonomi, menghormati Islam dan institusi asas negara, menyelamatkan negara dari provokasi perkauman yang membimbangkan, bebas dari pemikiran liberalisme yang melampau, bebas dari korupsi, tidak menjadi alat kepada pihak yang anti-Islam, mempunyai pendekatan Islam yang moderate dan luas konsepnya.
Tokoh-tokoh politik berwibawa dalam kerajaan dan luar kerajaan perlu bekerjasama membentuk satu gabungan yang lebih menyelamatkan keadaan, meyakinkan dan membangunkan negara atas landasan diterima oleh majoriti rakyat.
Marilah kita mendoakan agar hal itu terjadi dan negara ini diselamatkan.
Dipetik dari Facebook MAZA