Apek marah-marah tapi bagi tip RM2
22 Januari 2020:
BEBERAPA hari lagi masyarakat Tionghoa akan menyambut Tahun Baharu Cina.
Ohh..sebelum cerita lebih lanjut. AG nak kongsi pengalaman masa masih bekerja jadi wartawan di Utusan Malaysia. Bila nak raya Cina je akan muncul la memo ‘Tahun Baharu Cina bukan Tahun Baru Cina’ dan ‘Tionghoa bukan Tionghua’.
Almaklumlah wartawan datang dan pergi. Selama ini memang kita sering guna ‘baru’ dan ‘Tionghua’. Tetapi mengikut munsyi di Dewan Bahasa dan Pustaka, ejaan itu salah. Ejaan yang betul adalah ‘ baharu’ dan ‘Tionghoa’ ok ☺.
Berbalik pada isu pokok. Memandangkan Tahun Baharu Cina tak lama lagi, AG pon dengan semangat nak sama-sama memeriahkan sambutan, pasang lagu-lagu Cina dalam kereta.
Best juga lagu-lagu dorang ini. Yang ceria, ceria habis tapi kalau yang sedih, boleh mengundang air mata, walaupun sepatah haram tak faham 😂.
Nak dijadikan cerita, kebanyakan penumpang AG sehari dua ni pon orang Cina. Tengah asyik melayan radio, masuk satu job. Berdasarkan nama yang tertera, sahlah dia pelanggan Cina.
Tanpa membuang masa, AG terus menuju ke lokasinya, sebuah sekolah Cina juga. Sebaik sahaja sampai, AG pon tunggulah dengan sabar.
Beberapa minit menunggu, orangnya tak muncul-muncul. Takpe, mungkin cikgu tengah berkemas-kemas nak keluar kelas tu, kata AG. Tunggu lagi.
Tiba-tiba telefon berdering. Tertera perkataan Customer Grab. AG angkat, seorang lelaki Cina kata, dia dah tunggu tadi kat depan, sekarang kat belakang tapi tak nampak kereta AG. Aikkk..
AG kata kereta cool AG ada betul-betul dekat depan pintu masuk sekolah ini, macam arahan yang diterima daripada aplikasi Grab.
Dia pening. Dalam hati mahu saja AG suruh dia kansel sebab tak jumpa. Tapi mengenangkan dah habiskan masa nak ke situ dan menunggu lagi, AG biarkan sahaja. Takkan la cikgu tak faham arahan cara pilih lokasi dan tempat menunggu, kata AG lagi, itu pon hanya dalam hati hehehe.
Akhirnya AG tanya dia ada di mana? Dia kata depan plaza X. AG nampak plaza X itu tak jauh daripada sekolah, lokasi asal yang tertera.
Hmmm..patutlah tak jumpa. AG pon bergegas ke plaza X. Nampak sahaja AG, dia terus masuk.
Mulalah dia membebel. AG senyumkan saja. Aku juga yang salah, kata AG, masih dalam hati. Lepas tengok suhu kemarahan dia menurun, AG pon tunjuk lah aplikasi Grab telefon pada dia.
“You tengok sini, lokasi you pilih ini sekolah,” kata AG, sambil cuba gelak-gelak kecil.
“Aiya.. ini Grab selalu ini macam. Saya tak ada pilih ini sekolah,” kata dia mempertahankan diri.
“Iya la encik, tak apa la, raya Cina mau dekat jangan marah-marah maaa..,” kata AG sambil kuatkan sikit volum radio, lagu pula tengah best.
Apek tu kata, dia cadang nak buat laporan pada Grab, supaya tak lagi menyusahkan penumpang dan pemandu Grab.
“You pon tak salah. Ini Grab selalu jadi. Saya pon ramai kawan bawa Grab, selalu jadi ini macam,” katanya tenang dan dah boleh gelak-gelak juga.
Seperti biasa, kalau bawa penumpang AG akan ikut waze. Tapi apek tu kata, jangan ikut waze, dia boleh tunjuk laluan lebih dekat dan elak jem.
AG ikutkan sahaja, asalkan dia tak ‘mengamuk’ dalam kereta hahaha. Tapi dalam masa sama, AG tak padamkan waze.
Bila sampai simpang waze suruh belok kanan, apek ni minta jalan terus. Waze suruh masuk simpang apek ni tetap kata jalan terus sahaja.
Ahhh sudah, takkan la waze ini tak reti nak cari lokasi pulak. Selama ini jumpa saja tempatnya.
Disebabkan masih siang, AG tak lah rasa terancam sangat. Tambah pula yang duduk di sebelah, apek, apa la sangat apek ni boleh buat.
Akhirnya kereta kesayangan AG tiba di sebuah kawasan flat. Apek tu pon selamba minta turun.
Sebenarnya kalau ikut arahan waze, lokasi yang dituju adalah sebuah bank. Dalam hati, patutlah waze tu asyik ‘salah’, rupa-rupanya aku kena tipu!
Tapi bagi AG, apek ini tetap mempunyai nilai-nilai murni yang wajar dicontohi. Dia tau dia dah kelirukan AG, dia bagi tip RM2! 😂. Kebanyakan orang muda sekarang, walaupun jelas buat salah, selamba je mereka cakap – ada aku kisah!