Rencana

Apakah ahli politik akan tolak kali kedua tawaran kerajaan rentas parti?

ulama

TEMPOH 48 jam ini sangat kritikal bagi menilai sokongan para pemimpin politik dengan tawaran yang dibuat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketika ramai menganggap Muhyiddin sudah diasak terperosok ke dinding beliau tampil menyatakan pendirian untuk meneruskan perjuangan memerangi wabak Covid-19 dan pada masa yang sama menghulurkan tangan kepada para pemimpin politik tanpa mengira fahaman serta parti politik untuk bersama-sama membangunkan negara ini.

Tujuh tawaran yang beliau kemukakan memang sesuatu yang menjadi harapan kepada banyak pihak termasuk rakyat keseluruhannya seperti mengehadkan dua penggal bagi memegang jawatan perdana menteri dan undang-undang anti-lompat parti.

Tun Dr. Mahathir Mohamad juga pernah tampil dengan idea yang hampir sama iaitu membentuk kerajaan perpaduan ketika Pakatan Harapan (PH) tumbang lebih setahun yang lalu.

Prinsip kedua-dua cadangan itu adalah hampir sama, iaitu kabinet akan dianggotai oleh mereka yang diukur bukan berdasarkan parti, tetapi berdasarkan kebolehan.

Persoalannya kini apakah ahli politik di negara ini sudah bersedia untuk melaksanakan dan menerima tawaran Muhyiddin, walaupun ia adalah yang terbaik untuk negara ketika ini bagi menyelesaikan kegawatan politik ketika ini.

Pengumuman Muhyiddin membuka satu lagi lembaran baharu dalam usaha kerajaan menstabilkan gelombang politik pada masa yang sama menyelesaikan krisis pandemik dan kelembapan ekonomi negara.

Inilah harapan rakyat untuk melihat negara ini supaya dapat bergerak ke hadapan tanpa diganggu perbuatan adu domba pemimpin politik yang tidak berkesudahan walaupun ketika negara dilanda musibah.

Apatah lagi di pihak PH acap sangat menggunakan doktrin ‘Kerajaan Gagal’ dan sudah ke siling tahap tekanan diberikan kepada PM sejak pelaksanaan Ordinan Darurat dan membawa kepada Sidang Khas Parlimen baru-baru ini.

Klimaks kepada tekanan ini beberapa ahli Parlimen yang sebelum ini menyokong kerajaan berpaling tadah untuk menarik sokongan kepada PM dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) hingga pembangkang yang sebelum ini ‘buntu’ idea untuk mendobrak kerajaan PN semacam mendapat satu nyawa untuk melancarkan serangan semula.

Selain itu akan diwujudkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen lebih seimbang dengan lebih ramai ahli pembangkang 50 peratus keanggotaan kepada pembangkang.

Sementara PM juga mengumumkan undi 18 akan dilaksana tanpa perlu tunggu pendaftaran automatik pemilih.

Beliau juga memaklumkan bahawa semua Rang Undang-undang akan dirunding dahulu dengan ahli Parlimen.

Paling menarik beliau juga mengumumkan bahawa Ketua Pembangkang bertaraf Menteri Kanan dengan saraan yang sama.

Sementara PM mengumumkan akujanji bahawa mandat memilih kerajaan akan diserahkan kepada rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 yang bakal diadakan selewat-lewatnya hujung Julai 2021.

Ketegasan PM dalam memastikan kerajaan ini terus ditadbir dengan baik tanpa menyerahkan kepada kelompok yang digelar kleptokrasi amat mengujakan, malah rakyat di luar sana amat berharap isu-isu rasuah yang membelenggu kerajaan terdahulu tidak lagi berlaku selepas ini.

Pengumuman sebentar tadi memberi gambaran jelas bahawa kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin benar-benar mahu negara ini kembali stabil dan dapat memfokuskan kepada usaha mengatasi pandemik Covid-19 selain menghentikan sebarang bentuk percubaan membawa negara kepada keparahan politik. 

Kini segalanya terletak di tangan pemimpin politik. Jika mereka ikhlas berjuang untuk rakyat, inilah peluangnya.

(Visited 279 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button