Politik

‘Tiada lagi gelaran ahli Parlimen kerajaan atau pembangkang’

Situasi semasa yang begitu getir sehingga mengancam kesihatan dan nyawa orang ramai hanya akan bertambah membarah jika sebuah pertikaian politik baharu sekali lagi menjerumuskan negara ke dalam krisis perlembagaan yang tidak berkesudahan.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, dengan tiadanya hala tuju yang jelas daripada aktor-aktor politik lain, Armada Bersatu Malaysia amat mengalu-alukan tawaran berjiwa besar yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada semua parti politik dan wakil rakyat.

“Tawaran ini secara tuntasnya amat komprehensif, inklusif, adil dan saksama kepada semua pihak, menepati keperluan semasa negara, menyelesaikan masalah struktur negara yang memerlukan penambahbaikan segera, serta meletakkan rakyat sebagai satu-satunya keutamaan.

“Jika menjadi kenyataan, tiada lagi gelaran ahli Parlimen kerajaan atau pembangkang. Semua ahli-ahli Yang Berhormat akan menjadi ‘wakil rakyat’ dalam erti kata sebenar istilah itu tanpa mengira pegangan ideologi atau keahlian parti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, selari dengan pendekatan ‘whole of nation’ yang menunjangi tawaran itu, pindaan Perlembagaan Persekutuan dan pengukuhan peranan Parlimen yang dicadangkan juga akan memperkasa institusi demokrasi, menjadikan mekanisme semak dan imbang lebih ampuh, serta menjamin agar korupsi dan kleptokrasi tidak lagi menjadi ancaman di masa hadapan.

Katanya, pelaksanaan Undi 18 membolehkan lebih ramai anak muda mengambil bahagian dalam tatanegara.

“Oleh itu, kita menyeru semua pihak terutamanya ahli-ahli Dewan Rakyat agar meletakkan tugas patriotik mereka di tempat yang berhak, serta sama-sama menyambut tawaran ini demi kesejahteraan negara dan masa depan yang lebih terjamin untuk semua,” katanya

(Visited 182 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button