Berita

Apabila wartawan meremehkan diri sendiri

Oleh Adam Salleh
(mantan Pengarang Berita Kumpulan NSTP)

“Orang boleh pandai setinggi langit, tetapi selama ia tidak menulis ia akan hilang di dalam masyarakat dan sejarah. Menulis adalah bekerja untuk keabadian,” kata Pramoedya Ananta Toer.

Kata-kata hikmah sasterawan Indonesia itu diabadikan dalam sijil Bengkel Komprehensif Penulisan Komersil & Kerjaya Profesional anjuran Persatuan Wartawan & Penulis Hiburan (WHAM) dengan kerjasama Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional) yang diadakan di Hotel Concorde pada 26-28 Mac lalu.

Peserta bengkel adalah dalam kalangan bekas wartawan dan editor hiburan. Umum maklum tahun lalu beratus wartawan diberhentikan kerja berikutan krisis ekonomi syarikat media. Penutupan syarikat Utusan Malaysia menambahkan lagi parah dunia kewartawanan.

Bengkel anjuran WHAM itu antara lain mengajak bekas wartawan dan editor hiburan beralih daripada penulisan diskriptif ke kreatif, dalam erti kata jika dahulu mereka teror menulis berita hiburan, kini cubalah menulis novel, skrip drama atau menjadi penulis upahan (ghost writer).

Nampak seperti ok bengkel berkenaan untuk WHAM dilihat aktiviti mereka berjalan. Sebaliknya menilai latar peserta ada editor dan wartawan kanan yang bukan kaleng-kaleng malah di antara mereka lebih dua dekad bergelumang dalam penulisan hiburan, seperti tidak relevan bengkel sebegitu dihadiri mereka.

Setakat menulis novel atau skrip drama, pengalaman peserta selama berdamping dengan artis, idea mereka lebih padu daripada novelis itu sendiri. Sekiranya diadaptasi ke novel atau drama plotnya lebih menarik kerana wartawan berita mahupun hiburan itu berhadapan secara realistik pelbagai peristiwa saban hari (bukan sahaja artis) berbanding penulis novel majoriti yang dok berhayal dalam bilik lalu terhasillah kisah cinta yang meloyakan.

Tatkala wartawan hiburan kian tersisih, adalah lebih baik WHAM menganjurkan program untuk menambat masyarakat. Seharusnya WHAM tercabar apabila tiga anak muda Hidir Ali Razali (panelis), Danial Aziz Ahmad (panelis) dan Era Azman (moderator) dari Repair Gambar Lama (RGL), Kayu Kane dengan kerjasama Finas mengadakan program Jom Tanya Pasal P.Ramlee pada 22 Mac lalu. Tarikh 22 Mac dipilih bersempena tarikh kelahiran P.Ramlee.

Ketiga-tiga anak muda itu dari Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik. Mereka bukan wartawan hiburan pun tetapi kecintaan mereka terhadap filem tempatan jelas hinggakan sanggup keluar duit sendiri menghasilkan buku Di Sebalik Tirai Layar dan buku Nordin Ahmad-Permata Seni Terbilang. Kedua-dua buku itu ditulis Hidir.

Wartawan hiburan itu harus malu jika selama hayat tidak hasil walau satu buku. Finas ada Bahagian Penerbitan Buku, tetapi apakah Finas menghargai wartawan hiburan untuk memberi mereka peluang menulis buku ? berbanding berjuta-juta duit rakyat diagih Finas untuk penggiat filem dan ada antaranya geran tanpa berbayar walaupun filem itu tidak laku.

Tanggal 3 April pula Yayasan Artis Veteran Malaysia dengan kerjasama Finas menganjurkan Seloka Lagenda di Matic, Jalan Ampang. Program menampilkan seniwati Salmah Ahmad dan Datuk Rosnani Jamil itu turut dihadiri Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid.

Pertubuhan Kebajikan Prihatin Suara Tanjung Pian menganjurkan program Ke Manakah Hala Tuju Finas Untuk Penggiat Seni Negara pada 4 April yang dirasmikan Tun Mahathir Mohamad.

Manakala Persatuan Sahabat Wanita Prihatin Negeri Terengganu dan Aspirasi Wanita Nasional menganjurkan program Teh Tarik Bersama Tun Mahathir pada 8 April di Marina Putrajaya. Penulis yang hadir di program itu sempat bertanyakan pada Tun M mengenai industri filem Korea, Netflix dan mengapa ketika beliau menjadi PM-4 meletak Finas di bawah Kementerian Perindustrian dahulu ?

Menilai pelbagai program NGO lain, jelas di sini ada tarikan masyarakat untuk program sebegitu berbanding WHAM menjurus sesama sendiri. Tetapi percayalah jika WHAM mengajurkan program atau diskusi topik Elok Atau Tidak Finas Diswastakan ? tidak mustahil masyarakat dan penggiat filem melihat WHAM ‘champion.’

Tengku Khalidah Tengku Bidin selaku Presiden dan AJK WHAM harus lebih kreatif bermain idea untuk wartawan hiburan kembali dimuliakan. Contohi RTM, tatkala BERNAMA berbangga apabila pengerusi pertamanya juga senator, Datuk Ras Adiba Radzi kembali membaca berita, tiba-tiba Tengku Permaisuri Selangor, Norashikin Abdul Rahman memintas dengan bercemar duli membaca berita sempena 75 tahun RTM.

Menyorot awal kewujudan Finas, wartawan disanjung boleh dilihat apabila Zainuddin Maidin (Tan Sri) duduk sebagai Ahli Lembaga Pengurus, kemudian silih berganti wartawan seperti Norshah Thamby, Bahyah Mahmood, Aimi Jarr serta penulis Hamzah Hussein diletak di Finas.

Malah Aimi Jarr diangkat menjadi Presiden GAFIM, tetapi tidak sekarang wartawan apatah lagi bekas wartawan hiburan bak burung dodo.

Sedangkan ramai wartawan hebat seperti Ku Seman Ku Hussein, Mokhtar Alias, Fauzan Uda Ahmad, Saodah Ismail, Hanizam Abdullah atau Akmal Abdullah masih boleh mencurah idea untuk duduk sebagai “board of director.’ Jika pelakon pun boleh dipilih menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Finas, apalah sangat wartawan.

Andai ada yang menempelak apalah bekas wartawan boleh buat ? harus diingat daripada Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan menteri-menteri kabinet lain, ada wartawan di sisi mereka bukan pelakon atau penyanyi.

Natijahnya, Finas itu sendiri dicorak oleh wartawan apabila Tan Sri A.Samad Idris menjadi pengerusi pertama Finas yang asalnya beliau adalah bekas wartawan dari Utusan Malaysia.

(Visited 436 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button