Kewujudan MN tidak memadai untuk lakukan perubahan – Hadi
KEWUJUDAN Muafakat Nasional (MN) sahaja hasil habungan UMNO dan Pas tidak memadai untuk melakukan perubahan kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Katanya, ini kerana walaupun dua parti terbesar yang mewakili Melayu itu bergabung bersama MIC dan MCA, kerusi Parlimen masih tidak mencukupi.
Tanpa kerusi Parlimen yang cukup katanya, apa-apa perubahan tidak boleh dilakukan.
Sebab itu katanya, mereka terpaksa ajak parti dalam Pakatan Harapan (PH) untuk bergabung dalam Pakatan Nasional (PN).
“Kerajaan PN (Perikatan Nasional) ditubuhkan untuk mencukupkan perubahan dan macam mana boleh kata kita tipu dan khianat.
“Kita tidak tipu dan mereka yang tipu. Buat manifesto janji harga minyak turun 24 jam, PTPTN dan tol dihapuskan. Sebenarnya bukan senang,” katanya.
Abdul Hadi berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Muafakat Nasional di Dewan Tan Sri Ghazali Jawi sempena pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim malam tadi.
Yang turut hadir pada ceramah itu ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid, Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya Pas, Razman Zakaria.
Abdul Hadi turut mengakui bahawa Pas juga cemas apabila UMNO dan Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum 14 (PRU14)
Ekoran itu katanya, Pas merasakan sesuatu perlu dibuat termasuk menubuhkan Muafakat Nasional (MN) tahun lalu.
“PRU14 menyaksikan tiada parti yang berasaskan Islam yang perintah walaupun ada PAN (Parti Amanah Negara) dan mereka cuma hendak kuasa.
“Parti bukan Islam kuasai PRU14. Pas jadi cemas walaupun BN dan UMNO yang kalah.
“Kita ini macam kepala lutut. Pukul lutut kiri, kanan akan terasa,” katanya
Beliau juga berharap pada PRK DUN Slim ini, pengundi akan membuat bersama MN dengan mengundi calon BN, Mohd. Zaidi Aziz.
Katanya, keputusan di Slim itu akan memberi makna besar sebagai penentu pada PRU15 dan juga Pilihan Raya Negeri Sabah.
“Buatlah perubahan dengan MN kerana kita ambil parti-parti yang ada dalam kontrak sosial kerana dalam PH, banyak yang tidak hayati kontrak itu,” katanya. – SM