Oleh WARTAWAN SUARA MERDEKA
KOMENTAR
APA sudah jadi. Rupa-rupanya syarikat Motorola adalah penyokong Zionis.
Ini didedahkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin menerusi senarai 112 syarikat antarabangsa yang didapati terbabit dengan aktiviti di penempatan Israel – yang dianggap sebagai haram mengikut perundangan antarabangsa.
Motorola Solutions antara firma ‘gergasi’ antarabangsa yang dimasukkan dalam senarai syarikat antarabangsa mesra Zionis selain Airbnb, Alstom, JC Bamford Excavators Ltd, Opodo, Expedia, eDreams dan Booking.com.
Laporan PBB itu menyusul resolusi Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada 2016 yang menggesa satu ‘pangkalan data untuk semua perniagaan terbabit dalam aktiviti khusus berkaitan penempatan Israel di wilayah Palestin’.
Yang menghairankan Suara Merdeka, mengapa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad masih terus memberi peluang dan ruang kepada Motorola untuk menjadi pembekal utama dalam pasukan keselamatan negara khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Difahamkan, nama projek di PDRM yang menggunakan Motorola adalah sistem radio RMPNet menggunakan teknologi 2-ways trunk radio APCO P25.
Padahal baru sahaja minggu lepas pada 8 Februari, Dr Mahathir mendesak penyokong tegar Zionis, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump meletakkan jawatan susulan keputusannya mengumumkan Pelan Damai Timur Tengah yang dikenali sebagai “Deal of the Century”.
Desakan itu dibuat selepas beliau menyampaikan ucaptama pada Persidangan Liga Ahli Parlimen Untuk Al-Quds (LP4Q) di Petaling Jaya.
Tegas Perdana Menteri, keputusan Trump untuk melaksanakan ‘pelan damai’ Palestin-Israel adalah tidak adil kerana ia hanya akan menimbulkan lebih banyak konflik di rantau itu yang ketika ini turut dibantah berbilion orang di dunia.
Kenyataan Dr Mahathir itu begitu mengewakan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur terhadap presiden mereka dengan mengatakan ia tiada “semangat dialog yang membina” yang menggariskan hubungan antara kedua-dua negara.
Namun itu sama sekali tidak meredakan kemarahan Perdana Menteri dengan terus mengekalkan kritikan Malaysia terhadap sokongan AS kepada Israel ketika Trump sedang berusaha untuk dipilih semula dalam pilihan raya presiden November ini.
Seluruh dunia, apatah lagi umat Islam di Malaysia maklum Dr Mahathir pejuang Palestin tegar yang global.
Semasa di New York pada September tahun lalu, Perdana Menteri menerima kunjungan hormat Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Motorola Solutions, Gregory Brown.
Jadi, apa tindakan Dr Mahathir terhadap Motorola – syarikat yang memisahkan orang Islam Palestin dari Masjid Al-Aqsa adalah syarikat sama membekalkan radio telekomunikasi kepada PDRM?
Dalam pada itu, Menteri Luar Israel, Israel Katz berkata, pendedahan senarai itu adalah `penyerahan memalukan’ kepada musuh Israel.
Pada masa sama Menteri Luar Palestin, Riyad Al-Maliki menegaskan, senarai itu suatu kemenangan untuk undang-undang antarabangsa.
– SM