Politik

Apa guna ada parlimen jika tidak berminat untuk hadir

SIDANG Dewan rakyat bermula lewat sebab tidak cukup korum bukan perkara baharu. Semalam ia berlaku lagi. Persidangan yang sepatutnya bermula pada pukul 10 pagi terpaksa dilewatkan kerana jumlah kehadiran anggotanya tidak mencukupi.

Malah Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md seolah-olah tidak sedar akan hal itu apabila terus menjemput Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik untuk menjawab soalan pertama yang dikemukakan oleh Datuk Dr Hassan Bahrom (PH-Tampin) pada sesi soal jawab lisan.

Menyedari keadaan dewan yang lengang,  Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad mengemukakan peraturan mesyuarat kerana korum untuk dewan bersidang tidak mencukupi.

Suasana lebih banyak kerusi kosong berbanding ahli dewan itu menyebabkan Speaker mengarahkan Bentara melakukan pengiraan dan mendapati hanya 24 ahli parlimen sahaja yang hadir dalam dewan ketika itu.

Mengikut Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat Bilangan 13 (1), cukup bilang bagi (korum) Majlis Mesyuarat dan Jawatankuasa sebuah Majlis Mesyuarat hendaklah mengandungi 26 ahli  dengan tidak termasuk pengerusi.

Lalu loceng terpaksa dibunyikan sekali lagi untuk ‘menjemput’ mereka yang berada di luar dewan (jika ada) untuk masuk mencukupkan korum bagi membolehkan dewan bersidang.

Selepas loceng dibunyikan, empat lagi ahli parlimen masuk menyertai sesi tersebut dan barulah sidang dapat dimulakan.

Persidangan Dewan Rakyat semalam diteruskan dengan kehadiran hanya 28 daripada 222 ahli parlimennya, dengan hanya seorang menteri yang hadir dan lima timbalan menteri.

Situasi itu menunjukkan ahli parlimen seperti tidak serius dengan tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat kepada mereka.

Parlimen merupakan tempat di mana para wakil rakyat datang mempersembahkan masalah rakyat yang diwakili mereka kepada kerajaan.

Dan kerajaan pula melalui menteri dan timbalan menteri perlu mendengar rintihan rakyat yang dibawa itu supaya dasar-dasar baharu dapat digubal untuk kesejahteraan rakyat.

Tetapi jika dilihat kepada senario semalam, itu tidak berlaku. Ahli parlimen seolah-olah tidak berminat untuk menyertai sesi persidangan Dewan Rakyat.

Yang datang pun belum tentu lagi membahaskan isu-isu rakyat tetapi lebih kepada bertengkar mengenai hal-hal peribadi yang berkaitan dengan kepartian yang langsung tidak memberi manfaat kepada rakyat. Tetapi sekurang-kurang mereka datang untuk membolehkan Dewan Rakyat bersidang seperti dijadualkan.

Menteri dengan timbalan menteri mungkin ada alasan mereka sibuk dengan tugas sebagai anggota kerajaan yang memerlukan mereka hadir ke majlis lain yang dianggap lebih penting.

Bagi ahli-ahli parlimen yang tidak ada jawatan dalam kerajaan mereka tidak ada alasan untuk tidak hadir kecuali sakit.

Kegagalan berbuat demikian menunjukkan bahawa mereka ini kaki ponteng dan tidak suka menunaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat yang dipilih.

Ini merupakan muka-muka yang tidak bertanggungjawab terhadap mandat yang diberikan oleh rakyat kepada mereka.

Sikap ini menimbulkan kekecewaan dalam kalangan netizen hingga ada yang memberikan komen apa gunanya ada parlimen jika ahli-ahlinya tidak berminat untuk hadir.

Adanya yang mengatakan, kerana ahli parlimen tidak berminat hadir ke dewan elok kalau ia dibubarkan bagi memberi mandat baharu kepada mereka yang berminat. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button